Paip Sudah Dipasang, Air Tidak Sampai

SANDAKAN: Isu bekalan air bersih yang berlarutan di beberapa kampung dalam kawasan Parlimen Libaran terus menjadi keluhan penduduk apabila projek bernilai jutaan ringgit masih gagal menyalurkan air ke rumah-rumah mereka meskipun telah disahkan siap lebih setahun lalu.

Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Hj Nasir, menzahirkan rasa kecewa dan kesal terhadap situasi tersebut yang menurutnya amat memalukan dan tidak sepatutnya berlaku di negeri Sabah yang kaya dengan sumber semula jadi.

Menurut beliau, antara kawasan yang masih terjejas ialah Kampung Banting, Kampung Dandulit, Kampung Sungai Beruang, Kampung Kuala Gum-Gum dan Kampung Rancangan Luboh Peringkat 6 di Sandakan.

“Saya telah membangkitkan isu ini secara rasmi dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah pada Julai 2024 kepada Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah. Dalam jawapan kementerian, dinyatakan bahawa Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Dandulit dan kawasan sekitarnya bernilai RM11.9 juta telah siap pada 26 Jun 2023,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Suhaimi berkata hakikat di lapangan amat berbeza apabila penduduk kampung masih hidup tanpa bekalan air bersih walaupun paip dan tangki telah dipasang.

“Paip sudah ada, tangki pun ada, tetapi air tidak pernah sampai ke rumah-rumah penduduk. Ramai yang terpaksa menadah air hujan, menggunakan air kolam, malah ada yang membeli air setiap minggu,” jelas beliau.

Katanya, masalah itu menggambarkan kegagalan Kerajaan Negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memastikan setiap projek siap bukan sekadar di atas kertas, tetapi benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

“Sehingga DUN dibubarkan, Kerajaan GRS masih gagal menyelesaikan masalah ini. Saya sudah mendesak agar lawatan tapak dilakukan segera bagi memastikan sistem yang dibina benar-benar berfungsi dan bukan menjadi projek ‘siap atas kertas’,” tegasnya.

Beliau menegaskan bahawa sebagai wakil rakyat Libaran, beliau tidak akan berkompromi dalam hal yang menyentuh kepentingan rakyat.

“Saya mahu projek RM11.9 juta ini benar-benar berfungsi untuk rakyat, bukan sekadar menjadi tanda nama di papan projek. Rakyat sudah lama bersabar, kini masa untuk bertindak — bukan lagi memberi alasan,” katanya.

Datuk Suhaimi menutup kenyataannya dengan penegasan bahawa bekalan air bersih bukan satu keistimewaan, sebaliknya hak asas rakyat.

“Air bersih adalah hak rakyat. Ia bukan hadiah, bukan janji.”

Related Articles

253FansLike

Latest Articles