KOTA KINABALU: Selepas lima tahun, akhirnya DUN Sabah dibubarkan semalam bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRU-17).
Parti politik kini memasuki ‘gear lima’ untuk memperkuat dan memantapkan pengaruh masing-masing.
Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata dengan pembubaran DUN, kuasa kini dikembalikan kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.
Beliau berkata pentas persaingan kini terbuka luas, dan semua parti akan tampil dengan calon dan tawaran masing-masing kepada rakyat.
“Rakyat akan membuat penilaian bukan hanya berdasarkan janji, tetapi juga prestasi lalu dan kewibawaan calon yang diketengahkan,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook.
Salleh yang juga Bendahari UMNO Sabah berkata perdebatan mengenai parti tempatan dan parti nasional akan muncul semula, terutama semasa kempen PRN.
“Namun hakikatnya, parti-parti tempatan sendiri tidak bersatu dan turut bertanding sesama mereka.
“Apa yang rakyat inginkan ialah sebuah kerajaan yang stabil – tidak mudah tumbang, mampu bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan, dan benar-benar fokus membantu rakyat,” katanya.
Menurut Salleh, Sabah memerlukan halatuju yang jelas untuk menarik pelaburan, menyelesaikan masalah prasarana asas, membuka lebih banyak peluang pekerjaan, dan menjamin masa depan generasi muda.
“Akhirnya, undi rakyat akan menjadi penentu. Pilihlah pasukan yang membawa kestabilan – bukan kekeliruan,” katanya.