Kenyataan Media Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat)
KOTA KINABALU: Dengan pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dengan perkenan Tuan Yang Terutama Tun Musa Aman, maka tibalah masanya rakyat sekali lagi menggunakan hak demokrasi mereka untuk menentukan hala tuju masa depan negeri ini.
Sejak diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri ke-16, kerajaan di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah menunjukkan keupayaan mentadbir dengan penuh tanggungjawab dan kestabilan. Dalam tempoh penggal ini, GRS berjaya meletakkan asas kukuh melalui pelaksanaan Dasar Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menumpukan kepada pembangunan seimbang antara kemajuan ekonomi, kebajikan rakyat dan kelestarian alam sekitar. Di bawah kepimpinan ini juga, kita telah melihat pertumbuhan pelaburan baharu dalam sektor tenaga hijau, pelancongan, pertanian serta perusahaan kecil dan sederhana, membuka peluang pekerjaan dan menggerakkan ekonomi rakyat.
Pada masa yang sama, pelbagai inisiatif sosial dan kebajikan telah dilaksanakan, termasuk pembinaan Rumah Mesra SMJ untuk golongan B40 dan pasangan muda, peningkatan kemudahan asas di luar bandar serta penambahbaikan dalam sektor pendidikan dan kesihatan. Hubungan harmoni antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan turut memastikan lebih banyak peruntukan disalurkan ke Sabah bagi pembangunan jangka panjang.
Kini, dengan berakhirnya penggal ini, saya menyeru seluruh rakyat Sabah agar terus memberikan mandat yang kukuh kepada GRS dalam Pilihan Raya Negeri ke-17. Hanya dengan kestabilan politik dan kesinambungan dasar yang terbukti berkesan, kita dapat memastikan pembangunan yang dirancang terus berjalan demi kemajuan rakyat dan negeri Sabah yang kita cintai.
Demi kestabilan. Demi kemajuan. Teruskan mandat kepada GRS.