TUARAN : Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Redonah Bahanda, berkata jentera wanita memainkan peranan penting bukan sahaja sebagai pelaksana di lapangan, tetapi juga sebagai penyampai aspirasi kerajaan kepada rakyat di seluruh pelosok negeri.
“Wanita adalah tulang belakang kekuatan parti. Kita bukan sekadar menyokong dari belakang, tetapi berdiri sebaris dalam perjuangan memastikan kesinambungan kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, yang telah membuktikan kemampuan membawa kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Sabah,” tegas Redonah.
Beliau berkata demikian semasa Taklimat Gerak Kerja Jentera Wanita PGRS PRN17 Sabah DUN Sulaman di Dewan Utama Bangunan Kebudayaan Rumpun Bajau Sama, Kampung Lok Batik, Tuaran, yang menghimpunkan jentera wanita daripada tujuh (7) Pusat Daerah Mengundi Sulaman di Tuaran semalam.
Turut hadir sama Naib Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Aziah Atoh, Ketua Wanita Gagasan Rakyat bahagian Sulaman, Datuk Jamaliah Antalip yabf jugan Bendahari Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Naib Ketua Wanita Gagasan Rakyat bahagian Sulaman, Noorziah Mastan, Ketua Wanita Gagasan Rajyat Likas, Halizah Din, SetiausahKerja Wanita Gagasan Rakyat, Azizah Atoh serta jawatankuasa Wanita Gagasan Rakyat Sulaman dan jentera Wanita G10 Sulaman.
Redonah turut memberitahu 74 bahagian Wanita Gagasan Rakyat Sabah menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah selepas PRN-17 nanti.
“Kita bersatu di bawah panji perjuangan yang sama dan memastikan kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor terus menerajui Sabah. Kita mahu kesinambungan ini demi kestabilan, kemajuan dan masa depan rakyat yang lebih baik,” katanya.
Menurut beliau, setiap jentera wanita mesti bersiap siaga sepenuhnya dengan struktur G10 yang mantap, agar gerak kerja dapat dijalankan dengan lebih tersusun, fokus dan berstrategi.
“Gerak kerja wanita perlu dilaksanakan secara berfokus dan meyakinkan supaya setiap pengundi dapat didekati dengan mesej perjuangan yang jelas. Ini masa untuk kita buktikan bahawa wanita Gagasan mampu menjadi barisan hadapan kemenangan GRS,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa DUN Sulaman adalah nadi politik kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, dan kemenangan di kawasan itu akan menjadi simbol keutuhan sokongan rakyat terhadap kepimpinan beliau.
“DUN Sulaman bukan sekadar kawasan pilihan raya, tetapi simbol kekuatan perjuangan Gagasan Rakyat Sabah dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Kejayaan mempertahankan Sulaman akan menjadi tanda jelas bahawa rakyat masih menaruh keyakinan kepada kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor untuk terus memacu kemajuan dan kesejahteraan negeri Sabah,” tegasnya.
Redonah turut menyeru agar semua jentera wanita memperkukuh perpaduan dan terus turun padang mendekati rakyat dengan mesej perjuangan GRS yang berasaskan kestabilan dan kesejahteraan.
“Wanita Gagasan adalah benteng semangat dan kekuatan parti. Dari DUN Sulaman, kita gerakkan gelombang kemenangan untuk seluruh Sabah,” katanya menutup ucapannya dengan semangat perjuangan yang tinggi.