Gelanggang Sepak Terajang Politik Sabah dibuka secara rasmi  – 73 kerusi jadi rebutan

Oleh NT

KOTA KINABALU: Akhirnya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bubar hari ini, Isnin bersamaan 6 Oktober, 2025, bagi membolehkan pilihanraya umum negeri yang ke-17 dijalankan.

Sebaik pengumuman dibuat oleh Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, petang ini, pemimpin-pemimpin parti politik, kecil dan besar, lokal atau dari seberang laut, mula sibuk dengan sebutan “calon” dan “kerusi”.

Aktivis dan pemerhati politik Sabah, Dr Kanul Gindol berpendapat kali ini pada umumnya para pemain pilihanraya Sabah terbahagi kepada lima kumpulan yang saling bersaing dan bersilang.

Jelasnya kumpulan pertama ialah grup parti pemerintah GRS dan PH, grup kedua parti-parti solo seperti Warisan, KDM dan PIS, grup ketiga ialah BN atau khususnya Umno yang mesra PH tapi memusuhi GRS, grup keempat ialah parti-parti ‘kecil’ dan bebas termasuklah sebuah grup yang menamakan diri mereka “gelombang hitam” dan PN manakala grup kelima ialah Star dan SAPP yang baru keluar dari GRS beberapa hari lepas tapi berharap untuk berlawan di semua kawasan PH dan mungkin juga BN atau ‘parti Semenanjung’.

“Semua parti atau kumpulan ini, bergantung juga kepada populariti “calon” nanti berpeluang diterima oleh 1.7 juta pengundi Sabah. Namun yang ketara disebut bakal memenangi “banyak” kerusi hanya beberapa seperti GRS, Warisan, PH, Umno dan KDM,” katanya ketika dihubungi Jesselton Times untuk komen beliau sejurus pembubaran diumumkan.

Katanya, berdasarkan tinjauan awal, Warisan mempunyai kekuatan tersendiri di DUN Senallang, Sulabayan, Bugaya, Kunak, Merotai,  Sebatik, Kukusan, Lahad Datu, Tungku, Sekong, Karamunting, Elopura, Gum-Gum, Sukau, Darau, Karambunai, Liawan, Tanjung Aru, Petagas,  Bogawan, Sindumin, Banggi, Moyog dan Sri Tanjong.

GRS pula mempunyai kekuatan di DUN Sulaman, Karanaan, Membakut, Klias, Lumadan, Kuala Penyu, Sungai Sibuga, Nabawan, Kemabong, Apas, Pitas, Kuamut, Kundasang, Telupid, Labuk, Kawang dan Kiulu tetapi berdepan saingan sengit KDM.

Pakatan Harapan (PH) juga dikatakan masih mempunyai sokongan padu di DUN Inanam, Likas, Api-Api, Kadamaian, Tamparuli, Luyang, Kapayan, Tanjung Papat dan Likas.

Menurut Dr Kanul, Barisan Nasional (BN) juga dilihat mempunyai peluang di DUN Usukan, Tempasuk, Lamag, Sukau, Segama, Sungai Manila, Sugut, Bengkoka, Tanjung Batu, Pintasan, Pantai Manis, Tanjung Keramat,  Pantai Dalit dan Balung.

STAR dikatakan mempunyai penyokong tegar di DUN Tambunan, Sook dan Bingkor bagaimanapun grup itu dikatakan mula mengalami “kekeliruan halatuju” apabila empat dari enam Adun Star memilih terus bersama GRS hari ini.

Mereka hadir ketika Hajiji mengumumkan pembubaran yang mendakwa empat Adun itu adalah bersama GRS.

Parti KDM pula dijangka memberi cabaran di DUN Matunggong, Bandau, Tandek, Paginatan, Melalap, Tulid, Tamparuli dan Limbahau.

Bebas atau “Black Wave” juga berpeluang menang di DUN Tanjung Kapor (Kudat), namun dikatakan bakal mendapat saingan sengit dari Ketua Pemuda Warisan Sabah.

Dr Kanul berpendapat keadaan dijangka lebih jelas selepas atau menjelang penamaan calon apabila semua parti politik atau grup menamakan barisan calon mereka.

“Setakat ini selain grup GRS dan PH, hanya Warisan dan PIS telah mengisytihar akan bertanding di kesemua 73 kerusi, dengan BN, KDM dan kini Star/SAPP dijangka meletak calon di “banyak” kerusi.

“Setakat ini belum jelas apakah ada parti yang bakal mendapat “magic number 37” atau “simple majority”. Ramai pemerhati berpendapat kerajaan negeri Sabah akan datang mungkin gabungan dua parti, dan mungkin juga kerajaan campuran gabungan pelbagai parti, kita tunggu penamaan calon,” katanya lagi.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles