Oleh Dr Amer Hudhaifah Hamzah
KOTA KINABALU: Sebagai seorang pensyarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terlibat aktif dengan kerjasama penyelidikan dan aktivisme dengan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), saya terpanggil untuk menzahirkan pandangan berhubung misi kemanusiaan yang sedang digerakkan oleh masyarakat antarabangsa, termasuklah MyCARE melalui penyertaan mereka dalam Freedom Flotilla Coalition (FFC) 2025 yang bermula sejak semalam (1 Oktober 2025).
Rakyat Palestin, khususnya penduduk Gaza, sudah terlalu lama dikekang kebebasan serta hak asasi mereka. Sejak 1948, nilai kemanusiaan seolah-olah telah runtuh sepenuhnya di wilayah Palestin yang dijajah dengan bentuk penderitaan masyarakat Arab yang tidak dapat digambarkan lagi. Kezaliman penjajahan Israel yang panjang di bumi anbiya’, Palestin yang kita cintai, bukan sahaja menyebabkan parut mendalam kepada rakyat Palestin itu sendiri, di dalam mahupun yang di luar negara, tetapi turut mencetuskan simpati dan solidariti masyarakat dunia. Masyarakat Malaysia di rantau Nusantara ini juga tidak terlepas dari berkongsi perasaan yang sama.
Kehadiran 497 peserta daripada kira-kira 46 buah negara seluruh dunia, termasuk Malaysia, yang berlayar menaiki kapal persiaran (bukan untuk tujuan ketenteraan ataupun keganasan) demi menyampaikan bantuan kemanusiaan yang sejak sekian lama telah disekat oleh Zionis Israel, adalah bukti nyata kepada rasa simpati dan solidariti masyarakat dunia kepada penduduk Gaza yang tertindas.
Dua projek pelayaran kemanusiaan yang dilancarkan, iaitu Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini menarik simpati dan perhatian global, harus ditegaskan sebagai misi kemanusiaan yang sama sekali tidak mengancam mana-mana pihak. Ia adalah misi sukarela masyarakat sivil antarabangsa (civil society humanitarian mission) yang hanya membawa makanan, pakaian, ubat-ubatan dan keperluan asas untuk membantu golongan lemah di Gaza, terutamanya kanak-kanak, wanita dan orang tua.
Tetapi hari ini, sekali lagi kita melihat Kutukan Dekad ke-8 (iaitu suatu kepercayaan mendalam para sejarawan Yahudi bahawa setiap kerajaan yang dibina oleh Israel di Palestin akan tumbang pada abad ke-8) benar-benar telah “memakan” kesedaran negara haram Israel menyebabkan mereka gagal menguruskan presepsi masyarakat antarabangsa yang semakin terhakis. Kegagalan Israel yang paling besar hari ini ialah kegagalan dalam merespon misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dengan cara yang dapat dipercayai. Rata-rata masyarakat antarabangsa hari ini sudah sangat jelas bahawa Israel tidak mahukan keamanan di rantau Asia Barat tersebut, sebaliknya sentiasa mencetuskan provokasi ke atas negara-negara serantau.
Sejak semalam kita dapat melihat kezaliman Israel dan keengganan mereka untuk mematuhi undang-undang antarabangsa. Puluhan buah kapal Global Sumud Flotilla (GSF) telah dipintas hari ini. Ramai peserta GSF, termasuk wanita, wartawan, doktor dan aktivis, kini hilang hubungan dan tidak dapat dipastikan keselamatan mereka, menyebabkan kebimbangan meluas dalam kalangan ahli keluarga dan sahabat handai.
Menurut YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 23 rakyat Malaysia yang menyertai GSF telah disahkan ditahan oleh tentera Zionis. Beberapa sumber video yang tular hari ini menunjukkan tentera Israel menceroboh kapal-kapal GSF dalam keadaan lengkap bersenjata di samping menggunakan meriam air yang ditembak ke dalam kapal untuk menakut-nakutkan peserta GSF. Tragedi ini yang berlaku di kawasan perairan antarabangsa jelas sekali merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa dan Israel wajar diadili atas keangkuhan serta kezaliman yang penuh narsistik ini!
Dalam konteks inilah bagi saya, pelepasan Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang disertai oleh MyCARE sejak semalam, bagi membantu “saudara seperjuangannya” Global Sumud Flotilla (GSF) untuk menyambung usaha menyampaikan bantuan antarabangsa kepada Gaza menjadi sangat signifikan dan bermakna. Keteguhan MyCARE, yang kini menyertai gelombang ketujuh flotilla selepas enam penyertaan terdahulu termasuk Mavi Marmara (2010), Women’s Boat to Gaza (2016), Just Future for Palestine (2018), Handala (2023), serta Break the Siege dan Handala (2024), adalah bukti komitmen kemanusiaan yang tidak pernah luntur dalam jiwa rakyat Malaysia.
Sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam (FIS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan pengiktirafan kepada MyCARE, yang juga merupakan rakan kerjasama fakulti kami, atas keberanian, keteguhan dan komitmen berterusan dalam usaha kemanusiaan global ini. Fakulti Pengajian Islam, UMS, berdiri teguh memberikan sokongan penuh terhadap perjuangan ini, dan kami berdoa agar usaha suci ini diberkati, dipermudahkan serta disampaikan Allah SWT dengan jayanya kepada saudara-saudara kita di Gaza yang dikepung dan dizalimi rejim Zionis Israel.
Tamat.
Dr Amer Hudhaifah Hamzah, PhD, merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Islam (FIS), Universiti Malaysia Sabah. Bidang kepakaran beliau adalah Linguistik Arab. Kebanyakan buku dan artikel yang beliau terbitkan terkait bidang filologi, manuskrip dan bahasa, namun penglibatan aktif beliau dalam kerja-kerja aktivisme melalui beberapa NGO di Malaysia turut mendedahkan beliau secara langsung kepada beberapa penyelidikan social, sejarah dan budaya.
