Priscella tanding di Melalap untuk teruskan legasi bantu rakyat

KOTA KINABALU: Pemangku Presiden parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Priscella Peter mengesahkan akan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.

Ini bermaksud, Priscella akan cuba mempertahankan kerusi yang disandang ayahnya, Datuk Peter Anthony, sejak 2018 sebelum ini.

Katanya, beliau mahu meneruskan legasi ayahnya dalam membangun dan membantu rakyat di kawasan itu.

“Ia bukan tugas mudah, tetapi semangat daddy sentiasa bersama dengan saya, sentiasa bersama dengan rakyat Melalap.

“Rakyat di Melalap tahu keprihatinan Datuk Peter dan sehingga kini apabila saya turun ke kawasan, mereka masih bercakap mengenai kebaikan dia (Peter), begitu kuat aura dia dan ini membuktikan daddy telah melaksanakan tugasnya dengan baik di Melalap.

“Saya akan teruskan perjuangan membantu rakyat di Melalap, masih banyak pembangunan yang boleh dilakukan, saya lakukan ini (bertanding di Melalap) bukan mengenai daddy semata-mata, ini demi rakyat Melalap yang masih mengharapkan pembangunan berterusan,” katanya.

Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 menyaksikan Peter yang bertanding atas tiket Warisan memenangi kerusi DUN Melalap dengan hanya majoriti sebanyak 293 undi bagi menewaskan lima calon lain.

Bagaimapun pada PRN16 lalu, beliau yang sekali lagi bertanding atas tiket Warisan memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti lebih tinggi iaitu sebanyak 1,719 undi dalam saingan enam penjuru.

Pada awal 2022, Peter kemudian meninggalkan Warisan untuk menubuhkan parti KDM.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles