Oleh Yussof J. Imbang
SANDAKAN; Penangah sebuah perkampungan padat dengan penduduk di daerah Tongod bakal berubah wajah sebaik sahaja projek pekan baharu dilaksanakan awal tahun hadapan.
Seluas 200 ekar telahpun diwartakan untuk projek tranfomasi bercampur di bawah Pelan Pembanguan Sabah Maju Jaya (SMJ), menurut Wakil Rakyat Kuamut, Datuk Masiung Banah.
Beliau mengumumkan perkara tersebut pada majlis makan malam ‘Santai Kalaga’ di salah sebuah restauran terkemuka di sini, semalam.
Pembangunan bercampur itu katanya, bakal membuka lembaran baharu daerah Tongod yang disenaraikan sebagai salah sebuah daerah termiskin di negara ini.
Masiung berkata, sebanyak RM3 juta telahpun diperuntukan untuk kerja-kerja awal termasuk pengukuran tapak, jalan masuk dan perparitan di kawasan tersebut.
Projek bercampur itu akan dilaksanakan dengan kerjasama strategik Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) yang dibangunkan secara berperingkat.
Pekan baharu itu juga katanya, bakal menempatkan bangunan komersial, perumahan awam, hospital, masjid, Pejabat Urusetia Kecil Penangah, Majlis Daerah, stesen minyak dan jambatan menyeberangi sungai Milian.
Menurut Masiung, kewujudan pekan baharu bakal membuka pertumbuhan ekonomi kepada warga Tongod khususnya penduduk di Penangah.
Penangah terletak kira-kira 70 kilometer dari Pekan Tongod dijangka menempah pelbagai kemajuan prasarsna awam sesuai kedudukanya berdekatan dengan kilang simen yang bekal beroperasi akhir tahun depan.