KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk budaya buli dalam kalangan warga kampus, sama ada secara fizikal, mental, emosi mahupun di alam maya.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, pihak universiti sentiasa memandang serius isu berkenaan kerana ia boleh menjejaskan keselamatan, kesejahteraan dan keharmonian pelajar di kampus.
“Setiap mahasiswa perlu memahami bahawa kebebasan yang dinikmati di universiti datang bersama tanggungjawab untuk menghormati dan menyokong antara satu sama lain.
“UMS tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk budaya buli. Jika berlaku, laporkan segera kerana universiti ini adalah tempat selamat untuk pelajar belajar dan berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Pembukaan Minggu Suai Mesra (MSM) Pelajar Baharu Sesi 2025/2026 di Dewan Canselor UMS hari ini.
Menurutnya, budaya buli tidak sepatutnya wujud dalam kalangan mahasiswa yang seharusnya menumpukan kepada pencapaian akademik, pembangunan diri serta pembentukan sahsiah sebagai insan berilmu dan berakhlak mulia.
“Ingatlah, anda datang ke sini bukan untuk menjatuhkan rakan, tetapi untuk sama-sama bangkit menuju kejayaan,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut memberi jaminan bahawa pihak UMS sentiasa peka terhadap kebajikan dan kebimbangan utama pelajar termasuk isu kemudahan asas, khususnya bekalan air di kolej kediaman.
“Sebarang isu berkaitan prasarana akan ditangani dengan segera bagi memastikan mahasiswa dapat menumpukan sepenuhnya kepada pengajian tanpa terganggu oleh perkara asas.
“UMS ketika ini turut mencatatkan Kadar Kebolehpasaran Graduan sebanyak 94.7 peratus pada tahun 2024, dengan 93.9 peratus daripada mereka memperoleh pekerjaan selepas menamatkan pengajian.
“Pencapaian ini membuktikan UMS komited dalam melahirkan graduan berkualiti dan berdaya saing, selain berupaya memberi sumbangan kepada masyarakat, industri dan negara,” katanya.
Pada sesi akademik kali ini, seramai 5,123 pelajar baharu telah ditawarkan tempat di UMS, menjadikan mereka sebahagian daripada keluarga besar universiti yang kini telah melahirkan lebih 91,000 graduan sejak penubuhannya pada tahun 1994.