PENAMPANG: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Dr Edwin Jack Bosi diumum sebagai calon parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kepayan.
Pengumuman itu dibuat Timbalan Presiden yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), Datuk Wetrom Bahanda pada majlis pelancaran jentera PRN17 KDM bagi kawasan DUN Kepayan, di Hungab, dekat sini, hari ini.
Edwin yang sebelum pernah menjadi ADUN di Kepayan diumum menyertai KDM, beberapa minggu lalu, seterusnya dilantik sebagai Ketua Penyalaras parti itu di kawasan berkenaan.
Edwin menjadi ADUN Kepayan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 2013 hingga 2018.
Beliau juga pernah bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) di Kepayan atas tiket Parti Bersatu Sabah (PBS) namun tewas kepada calon Warisan ketika itu, Jannie Lasimbang.
Terdahulu semalam, Wetrom turut mengumumkan tiga lagi calon yang akan bertanding pada PRN17 yang bakal diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.
Tiga calon yang diumumkan ialah bekas pemain bola sepak Sabah, Henry Saimpon, penyanyi ‘otai’, John Samud dan bekas Setiausaha Tetap Kewangan Sabah, Datuk Rusdin Riman.
Sebelum ini juga, Wetrom turut mengumumkan beberapa lagi calon KDM yang akan bertanding pada PRN17 nanti.
Antara diumumkan ialah Datuk Jeffry Mohd Ali (Kundasang), Dr Oswald Aisat Igau (Tulid), Dr Gaim Lunkapis (Tamparuli), Mckery Victor (Moyog) dan Datuk Almudin Kaida.