Teroka Bidang Baharu, Perkukuh Jaringan Industri dan Lahirkan Penyelidikan Bermanfaat – NC UMS

KOTA KINABALU – Kakitangan akademik Universiti Malaysia Sabah (UMS) diseru agar berani meneroka bidang baharu, memperkukuh jaringan industri dan menghasilkan penyelidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat serta negara.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, kejayaan hanya bermakna apabila turut menyumbang kepada kecemerlangan organisasi, seterusnya mengangkat martabat UMS di persada nasional dan antarabangsa.

“UMS kini berada di persimpangan perubahan besar. Justeru, pencapaian yang diraikan hari ini bukanlah pengakhiran, sebaliknya permulaan kepada cabaran baharu yang menuntut kepimpinan berwawasan, inovasi berterusan dan integriti yang kukuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kenaikan Pangkat Kakitangan Akademik UMS 2025 di Bangunan Canselori, pada Rabu.

Seramai 18 kakitangan akademik menerima surat tawaran ke jawatan Profesor Madya Gred DS14, Profesor Madya Perubatan Gred DU14, Pensyarah Perubatan Gred DU14, Pensyarah Kanan Gred DS13 dan jawatan Guru Bahasa Gred DG13.

Menurut Dr Kasim, kenaikan pangkat itu adalah manifestasi kepada nilai meritokrasi yang dipegang teguh oleh UMS serta hasil daripada kerja keras, pengorbanan masa dan kesungguhan warga akademik dalam melaksanakan amanah.

“Pengiktirafan ini membuktikan bahawa universiti menghargai dedikasi dan pencapaian luar biasa kakitangan akademik. 

“Namun dalam masa yang sama, ia datang bersama tanggungjawab yang lebih besar untuk terus cemerlang dalam pengajaran, penyelidikan dan khidmat masyarakat,” jelasnya.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly; Bendahari UMS, Datuk Badrul Hisham Ismail; Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof. Dr  Coswald Stephen Sipaut @ Mohd Nasri, dan pegawai – pegawai kanan universiti.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles