Pembangkang pesongkan fakta sebenar untuk raih simpati rakyat: Masiung

Oleh Yussof J Imbang

KOTA KINABALU: Tindakan pembangkang menuding jari dan menjaja cerita buruk terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengenai isu jalan raya, air dan elektrik disifatkan sebagai langkah meraih kredit politik dan simpati daripada rakyat yang kurang mengetahui fakta sebenar.

Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkata, ketiga-tiga isu itu sebenarnya di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, tetapi fakta telah dipesongkan supaya rakyat diracuni buruk sangka terhadap Hajiji.

” Langkah pemimpin dan pengikut pembangkang menanam kebencian kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana isu jalan raya, air dan elektrik, bererti mereka sebenarnya menghentam Kerajaan Persekutuan.

” Tindakan pembangkang itu lebih bermotif politik bagi meraih sokongan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, sedangkan isu yang sama pernah mereka lalui semasa menjadi kerajan sebelum ini.

” Mereka (aktivis pembangkang) menjual cerita, tiga isu utama di negeri ini di bawah bidang kuasa Persekutuan, sedangkan mereka juga adalah sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan, ” tegasnya dalam kenyataan media hari ini.

Masiung berkata, sepatutnya mereka berteriak menyuarakan masalah tersebut kepada Persekutuan bagi membantu menyelesaikan masalah rakyat yang terkesan di Sabah kerana mereka berada di kerusi Parlimen.

Tetapi katanya, kerana terdesak ingin kembali berkuasa selepas ditolak rakyat, mereka memilih untuk menuding jari kepada Kerajaan Negeri dengan harapan rakyat mempercayai agenda jahat mereka.

Namun demikian jelasnya, Kerajaan Negeri tidak berlepas tangan kepada isu utama tersebut, tetapi penyelesaian tidak dapat dilaksanakan serentak dalam tempoh yang singkat.

Tegasnya, kebanyakan jalan raya mengalami kerosakan di Sabah adalah berstatus jalan Persekutuan di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat.

Sementara, isu elektrik di bawah tanggungjawab Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menjadi pemilik Sabah Electricity.

” Bila elektrik sering terputus bekalan, Datuk Seri Hajiji disalahkan, sedangkan faktanya Sabah Electricity adalah penjana tenaga utama iaitu anak syarikat TNB milik Persekutuan.

” Kerajaan Negeri hanya mempunyi pegangan saham 18% dengan Sabah Electricity dan kita tidak mempunyi kuasa mutlak. Jadi rakyat kena faham bahawa fakta yang dikhabarkan adalah betul dan tidak diputarbelit, ” katanya.

Masiung berkata, masalah air yang berlaku pula bermula dengan tindakan kepimpinan kerajaan negeri yang lalu apabila menamatkan syarikat konsesi air kononnya untuk jimatkan kos.

Sebaliknya apa yang berlaku jelasnya, kos air meningkat kerana kehilangan pakar dari syarikat konsesi.

Akibatnya, Kerajaan Negeri sekarang terpaksa membayar RM300 juta kepada syarikat konsesi mereka selain membayar ganti rugi kerana menamatkan kontrak syarikat sebelum tempoh matang.

Tegasnya, pemimpin lawan sering membesarkan isu yang berlaku dilihat cuba menutup kelemahan mereka semasa menjadi kerajaan.

Masiung berkata, tumpuan kerajaan GRS sekarang adalah langkah dua hala bagi menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Pusat bagi mengatasi ketiga-tiga isu infrastruktur di negeri ini.

Antara langkah penting baru-baru ini satu delegasi Wakil-wakil Rakyat Pakatan Harapan (PH) Sabah telah mengadakan siri perjumpaan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta beliau menyediakan peruntukan tambahan yang besar kepada Sabah bagi menyelesaikan masalah jalan raya, elektrik dan air.

Wakil Rakyat Kuamut itu berkata, beliau adalah saksi hidup dalam tiga kerajaan dan melalui tiga orang Ketua Menteri, tetapi pencapaian Hajiji jauh lebih baik berbanding kepimpinan Kerajaan Negeri sebelum ini.

Katanya. rizab kerajaan dalam tempoh empat tahun pertama telah mencecah RM8.08 bilion yang merupakan jumlah tertinggi dalam sejarah negeri Sabah.

Manakala hasil pendapatan Sabah juga telah meningkat lebih RM7 bilion yang belum pernah dicatatkan dalam rekod mana-mana pemimpin Kerajaan Negeri sebelum ini.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles