KOTA KINABALU: Dalam saat rakyat berdepan musibah banjir dan tanah runtuh yang menguji ketabahan, tindakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor yang turun padang menyantuni mangsa bencana mendapat pujian pelbagai pihak.
Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Tan Sri Liew Yun Fah berkata, keberadaan Hajiji di lokasi-lokasi terjejas bukan sekadar simbolik, tetapi satu bukti nyata bahawa beliau tidak pernah membiarkan rakyat menghadapi musibah bersendirian.
“Tatkala ramai sedang menunggu bantuan dan harapan, kehadiran Ketua Menteri di tengah-tengah kawasan bencana memberi sinar dan semangat kepada mereka yang terkesan.
“Langkah beliau meluangkan masa meninjau keadaan, mendengar rintihan mangsa serta memastikan bantuan disalurkan dengan segera mencerminkan nilai kepimpinan berjiwa rakyat yang sejati,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Liew, pemimpin yang benar-benar prihatin tidak hanya memantau dari jauh, sebaliknya turun sendiri ke lapangan untuk memahami kesusahan rakyat dengan mata dan hati yang terbuka.
Beliau menyifatkan Hajiji sebagai contoh pemimpin yang konsisten dalam mendahulukan kebajikan rakyat.
“lebih-lebih lagi ketika negeri ini dilanda bencana alam yang menyebabkan kerosakan infrastruktur, kehilangan tempat tinggal dan dalam beberapa kes, kehilangan nyawa.
“Ketika rakyat ditimpa musibah, inilah masanya untuk semua pemimpin menunjukkan empati dan tanggungjawab. Hajiji telah menzahirkan teladan itu dengan tindakan nyata, bukan sekadar kata-kata,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, Liew turut menyeru seluruh masyarakat serta agensi berkaitan agar terus bersatu hati dan berganding bahu membantu mangsa bencana yang memerlukan, tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik.
“Ketika bumi Sabah sedang menangis, kita semua harus menjadi pengubatnya.
“Kepimpinan yang peduli dan rakyat yang bersatu adalah kunci untuk bangkit dari ujian ini,” katanya.