Program Seni Murai Batu Tingkatkan Silaturrahim dan Perpaduan Masyarakat Beaufort

BEAUFORT: Program seni Murai Batu yang berlangsung di sini bukan sahaja berjaya memartabatkan warisan budaya tempatan, malah turut menjadi platform penting dalam mengeratkan silaturrahim serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Pengerusi Veteran UMNO Beaufort, Osin Jilon, berkata program tersebut telah menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan muda, yang selama ini kurang terlibat dalam aktiviti kebudayaan tradisional.

“Program ini bukan sekadar pertandingan burung Murai Batu, tetapi ia juga satu ruang untuk generasi muda mengenali dan menghargai seni warisan kita.

“Ia mampu menyemai semangat perpaduan dan kebersamaan dalam masyarakat,” katanya ketika merasmikan program tersebut di sini semalam.

Osin berkata, burung Murai Batu terkenal dengan keindahan lagu serta kemahiran bertarung suara yang unik, menjadikannya simbol kebudayaan yang sangat dekat dengan masyarakat Sabah, khususnya di daerah Beaufort.

“Seni memelihara dan menganjurkan pertandingan Murai Batu bukan sahaja menghiburkan, malah menjadi medium efektif untuk menyatukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

“Ia menggalakkan interaksi sosial yang positif dan membina hubungan erat dalam komuniti,” ujarnya.

Menurutnya, program ini turut menjadi platform bagi memupuk nilai kekitaan dan cinta akan warisan budaya, selain membuka ruang bagi generasi muda untuk aktif dan berperanan dalam memastikan seni tradisional terus hidup dan relevan dalam era moden.

“Kita yang dengan penganjuran pelbagai aktiviti menarik yang disediakan sepanjang program, ia berjaya menarik minat bukan sahaja peminat seni burung kicau, malah orang ramai yang ingin menyaksikan keunikan seni Murai Batu.

“Pendekatan ini diyakini dapat memperkukuh perpaduan masyarakat Beaufort sekali gus menjadikan budaya tempatan lebih dikenali dan dihargai,” jelasnya.

Pada majlis itu, Junai MBS diumumkan sebagai juara manakala Bott Sipitang tempat kedua serta Ah Yap Beaufort tempat ketiga.

Hadir sama, Ketua Pemuda UMNO Beaufort Ak Mohd Yazri Ag Yahya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles