SIPITANG: Sokongan rakyat terhadap Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) di DUN Sindumin semakin memberangsangkan menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) berikutan perubahan “mood” rakyat yang kini lebih memihak kepada parti tempatan.
Ketua Bahagian KDM Sipitang, Sani Miasin berkata berdaaarkan perubahan aliran sokongan itu, potensi dan peluang parti KDM melakukan kejutan di DUN Sindumin kini semakin cerah.
“Ramai yang berpendapat dan meramalkan bahawa KDM, yang merupakan parti tempatan, mempunyai kelebihan dalam menarik sokongan di kawasan yang mempunyai majoriti pengundi komuniti KDM dan bumiputera yang lain.
“Jika sentimen ini kuat di Sindumin, ia boleh menjadi kelebihan besar,” katanya dalam catatan terbaharu di media sosial.
Menurut Sani, parti KDM telah menunjukkan keupayaan untuk mencipta kejutan, seperti kemenangan luar jangka Datuk Wetrom Bahanda di Parlimen Kota Marudu dalam PRU yang lepas.
Beliau berkata kejayaan itu menunjukkan bahawa sokongan terhadap parti tempatan adalah nyata dan mampu mengatasi calon atau parti-parti besar lain.
“Prestasi ini boleh memberi keyakinan kepada pengundi KDM di Sindumin. Apatah lagi kini beliau (Wetrom) sudah diumumkan sebagai poster boy calon Ketua Menteri Sabah dari parti KDM,” katanya.
Sani berkata beliau turut menzahirkan kesediaan untuk menggalas tanggungjawab dan amanah sekiranya diberi peluang menjadi calon PKDM di DUN Sindumin dalam PRN17.
“Setakat ini, semua Jentera Pilihan Raya bagi DUN Sindumin sudah dilantik dan siapsiaga untuk memastikan calon dan KDM menang,” katanya.
Beliau berkata antara isu-isu utama ataupun keluhan dan permasalahan yang sering dibangkitkan oleh penduduk kampung di Sindumin ialah soalan pembangunan infrastruktur jalan raya, air dan elektrik tidak seimbang, terutama isu jalan raya perhubungan dari Kg Mendulong hingga ke kampung Long Pasia.
“Setiap menjelang pilihan raya, isu ini seringkali digunakan untuk memancing undi rakyat di kawasan tersebut.
“Tidak terkecuali juga isu projek bekalan elektrik solar dan loji air yang masih terbengkalai sehingga ke hari ini.
“Isu lain juga ada seperti kurangnya peluang pekerjaan bagi anak-anak muda yang terpaksa mencari kerja di luar kawasan seperti di Kota Kinabalu dan di Semenanjung Malaysia.
“Ketiadaan kilang SFI telah merubah landskap sosioekonomi terutamanya rakyat Sindumin dan peniaga di Daerah Sipitang,” katanya.
Sani berkata sekiranya diberikan peluang dan mandat untuk menjadi wakil rakyat di DUN Sindumin, beliau bertekad untuk mencari jalan untuk mengatasi segala permasalahan tersebut secara berperingkat.
Katanya ini termasuk menambah baik sistem pengurusan pentadbiran di peringkat kampung, mukim dan daerah.
“Banyak pembangunan infrastruktur tidak terurus dengan baik mengakibatkan projek pembangunan tidak dapat dilaksanakan dengan seimbang terutamanya di kawasan luar bandar.
“Selain itu, KDM akan berjuang menambah peluang pekerjaan bagi golongan anak-anak muda dengan peluang pekerjaan utama di pelbagai sektor,” katanya.
Sani berkata ini termasuk mewujudkan peluang pekerjaan dalam industri Minyak dan Gas, industri hiliran dan pelancongan.
Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat Sindumin supaya bangkit dan berani membuat perubahan serta memastikan tidak tersalah pilih calon dalam PRN akan datang.
“Pilihlah calon dan parti yang bukan sahaja berjanji, tetapi mempunyai visi yang jelas dan pelan tindakan yang konkrit untuk memajukan Sindumin dan Sipitang.
“Fokus utama haruslah pada pembangunan ekonomi, terutamanya dengan potensi besar dari Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
“Wakil rakyat yang dipilih mesti mampu menarik pelaburan, memastikan projek berjalan lancar, dan menyediakan peluang pekerjaan yang berkualiti untuk anak-anak muda,” katanya
