Isu Bekalan Air Terputus di Sandakan: Suhaimi Desak Kerajaan GRS Segerakan Tindakan

SANDAKAN: Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Hj Nasir, menzahirkan kekecewaan terhadap kerajaan negeri Sabah yang dipimpin oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berikutan kegagalan menangani krisis bekalan air di Sandakan secara berkesan.

Menurut beliau, gangguan bekalan air yang berlaku ketika ini telah menjejaskan ribuan penduduk dan melumpuhkan pelbagai aktiviti harian masyarakat di seluruh kawasan Sandakan.

“Kejadian ini bukan pertama kali berlaku. Ia adalah masalah berulang yang telah lama membebankan rakyat. Pelbagai cadangan dan peringatan telah dibangkitkan dalam Dewan Undangan Negeri Sabah, termasuk oleh saya sendiri, namun tiada tindakan tuntas diambil oleh kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Suhaimi berkata, beliau turut membawa isu ini ke peringkat Dewan Rakyat bagi meminta peruntukan segera daripada Kerajaan Persekutuan bagi kerja-kerja pembaikan dan penambahbaikan sistem bekalan air di Sandakan.

“Walaupun ada peruntukan telah disalurkan, kelemahan dalam pelaksanaan dan kegagalan bertindak secara proaktif oleh Kerajaan Negeri Sabah, khususnya Kementerian Kerja Raya Sabah, amat mengecewakan,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan negeri seharusnya telah memiliki pelan kecemasan yang berkesan bagi menghadapi sebarang kerosakan besar seperti yang berlaku di Loji Air Segaliud terutamanya loji utama yang menyalurkan bekalan air kepada penduduk Sandakan.

“Kegagalan menangani krisis ini dengan pantas mencerminkan kelemahan tadbir urus dan kurangnya keprihatinan terhadap penderitaan rakyat,” tegasnya.

Suhaimi yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah turut menyatakan bahawa wakil-wakil rakyat telah beberapa kali membangkitkan isu ini dalam sidang DUN Sabah dan Parlimen melalui sesi perbahasan, pertanyaan lisan dan pencelahan. Namun begitu, beliau kesal kerana suara wakil rakyat seolah-olah tidak diendahkan.

“Setiap cadangan dan desakan kami bukan bermotif politik, tetapi demi kepentingan rakyat yang saban hari berdepan masalah asas, termasuk keperluan paling asas iaitu air bersih,” katanya lagi.

Beliau menambah bahawa rakyat semakin kecewa dan hilang kepercayaan terhadap kerajaan negeri yang gagal menunjukkan kecekapan dalam pengurusan isu ini.

Suhaimi mendesak Kerajaan Negeri Sabah, khususnya Kementerian Kerja Raya Sabah, untuk mempercepatkan pembaikan di Loji Air Segaliud dan sistem agihan berkaitan, melaksanakan perancangan jangka panjang secara menyeluruh bagi menaik taraf sistem bekalan air di Sandakan dan mewujudkan pelan kecemasan (contingency plan) agar krisis tidak berulang.

“Kerajaan GRS harus sedar bahawa rakyat bukan menuntut janji manis, tetapi tindakan yang nyata dan berkesan. Jangan biarkan rakyat terus menderita kerana kelemahan pentadbiran yang boleh dielakkan,” katanya.

Beliau menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan isu ini di semua peringkat, sama ada di Dewan Undangan Negeri Sabah mahupun Parlimen, demi kesejahteraan rakyat Sandakan dan Libaran secara keseluruhan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles