TANJUNG ARU : Prihatin dengan keadaan penduduk yang terkesan akibat musim hujan dan ribut berterusan, Ahli Jawatankuasa PGRS N22 Tanjung Aru, Dr Ritchie Jay Cheng, bersama kalangan AJK dan Pemuda PGRS telah mengadakan agihan bahan binaan rumah seperti atap, plywood, papan dan beruti kepada rumah yang terjejas hari ini.
“Bantuan ini adalah hasil keprihatinan dan tindakan segera Jabatan Ketua Menteri Sabah yang telah memperuntukkan bahan-bahan binaan tersebut sebagai langkah pemulihan awal bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin,” jelasnya yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Sabah.
Menurutnya, agihan bahan binaan ini memberikan kelegaan kepada penduduk yang rumah mereka mengalami kerosakan.
“Ia mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam mendahulukan kebajikan rakyat.
Secara peribadi, saya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Menteri atas keprihatinan dan tindakan pantas dalam menangani isu rakyat di peringkat akar umbi.
“Langkah ini menunjukkan contoh politik yang mengutamakan kebajikan rakyat, dekat dengan masyarakat serta memberi perhatian kepada keperluan kita dimana fokus kita adalah memastikan suara rakyat sentiasa didengar dan dibela, kerana inilah asas untuk kita bersama membina Sabah yang lebih stabil, maju dan Sejahtera.” ujarnya lagi.
Program ini sekaligus mengeratkan lagi semangat gotong-royong, perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat yang mampu membina negeri Sabah yang lebih makmur.
