KOTA BELUD: Penduduk kampung Bukid di DUN Kadamaian terpaksa bergadai nyawa menggunakan jambatan gantung buatan seorang warga emas melintasi Sungai Maranggoi yang sudah usang dan hanya menunggu masa untuk runtuh.
Bakal calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Josely Taising, dalam siri lawatan ke kampung tersebut baru-baru ini, berkata penduduk di situ mendakwa jambatan gantung yang menjadi laluan penting ke kawasan pertanian itu tidak kukuh terutama struktur lantai bambu.
Beliau berkata penduduk memaklumkan bahawa permohonan jambatan gantung (merentasi Sungai maranggoi) itu dibuat setiap tahun oleh JKKK Kampung Bukid kerana ia merupakam laluan utama penduduk kampung ke kawasan pertanian.
Josely berkata berdasarkan aduan orang kampung, permohonan pembaikan jambatan itu sudah hampir lapan tahun dikemukakan secara berulang, namun sehingga hari ini, “keputusan mendukacitakan”.
“Dulu pernah ada jambatan gantung tetapi hanyut dibawa arus banjir pada ketika itu.
“Ironinya dengan kewangan kerajaan negeri yang kukuh dan rizab yang membanggakan seperti yang diwar-warkan, masih ada lagi jambatan gantung seperti ini di tahun 2025? kata Josely dalam catatan terbaharu di media sosial.
Beliau memberi jaminan permasalahan penduduk kampung seumpama itu akan diberi perhatian jika diberi mandat dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Josely dimaklumkan bahawa terdapat satu insiden pernah berlaku suatu ketika dulu di mana ada seorang penduduk yang balik dari kebun menyeberang sungai itu pada waktu malam.
“Tetapi ngam-ngam banjir datang dan oleh sebab menjelang malam, dia beranikan diri untuk menyeberangi sungai tersebut namun dia dibawa arus sungai, nasib baik menyebelahi dia tersangkut di siring sungai,” katanya.
Susulan peristiwa menggerunkan itu, Josely berkata seorang penduduk kampung yang sudah berusia 80 tahun telah ‘mencari alternatif sendiri dengan membuat jambatan gantung itu atas usaha sendiri dan membeli bahan-bahan sendiri untuk kelengkapan jambatan tersebut’.
