Salleh: Digital literacy kunci transformasi pendidikan dan pembangunan negara

KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak menegaskan bahawa penguasaan kecelikan digital atau digital literacy menjadi kunci utama dalam merealisasikan transformasi pendidikan dan pembangunan negara.

Menurut beliau, dunia pendidikan sedang melalui transformasi besar seiring dengan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang memberi kesan langsung kepada cara masyarakat bekerja, belajar dan berinteraksi.

“Jika dahulu kecelikan asas pendidikan sudah memadai, kini kecelikan digital adalah keperluan wajib. Kita tidak boleh lagi terikat dengan kerangka lama, sebaliknya mesti berani melakukan anjakan pantas agar tidak ketinggalan,” katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang SMK Pekan II, Kota Belud.

Salleh turut menekankan bahawa penubuhan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) adalah bukti komitmen Kerajaan Malaysia dalam memacu transformasi digital negara. Katanya, NAIO bukan sahaja berperanan memacu inovasi, malah memastikan pembangunan teknologi AI di Malaysia berlandaskan nilai etika serta penglibatan menyeluruh masyarakat.

Beliau dalam ucapannya turut mengingatkan para pelajar bahawa kejayaan sebenar tidak hanya bergantung kepada pencapaian akademik, sebaliknya perlu disertai dengan pembinaan sahsiah, akhlak dan nilai moral yang seimbang.

Majlis tahunan yang dianjurkan pihak sekolah dengan kerjasama PIBG itu menyaksikan seramai 215 pelajar menerima anugerah kecemerlangan. Majlis ini bukan sahaja meraikan pencapaian pelajar, malah memberi inspirasi kepada seluruh warga sekolah untuk terus mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles