KOTA BELUD : Naib Presiden Parti Solidariti Tanah Airku – StarSabah merangkap Ketua Bahagian StarSabah Usukan Sdr Mohd Lin Hj Harun mewakili Presiden, YB Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan menyampaikan sumbangan peralatan membaikpulih Surau Kg Sadok-Sadok, Kota Belud kelmarin.
Pengerusi Surau, Tuan Hj Dulamin Hj Sulaiman bersama Timbalan, Sarbi Bin Derak mengucapkan jutaan terimakasih atas sumbangan Dr Jeffrey yang mereka terima dalam bentuk besi, zink dan simen.
“Sekarang ini syukur alhamdulillah, surau ini siap sudah naik tarap separuh konkrit atas perbincangan dan usaha Sdr Mohd Lin dengan jemaah surau.
Dia (Mohd Lin) bukanlah Wakil Rakyat Usukan tetapi komited dalam usaha membantu pihak-pihak yang sangat memerlukan.
Orang seperti inilah yang sepatutnya dicalonkan pada pilihanraya supaya boleh menjadi Wakil Rakyat kerana Lin senang didekati, pemurah dan senang ditemui, boleh dibawa berbincang dan sudah puluhan tahun memberi sumbangan membantu masyarakat di kawasan Usukan ini,” jelasnya.
Surau berusia lebih 80 tahun itu pada asalnya dibina menggunakan struktur kayu dan papan serta belum pernah menerima peruntukan untuk dibaikpulih oleh mana-mana sumber sebelum ini.
“Berikutan sumbangan Dr Jeffrey dan Mohd Lin sendiri, Surau berkenaan sekarang tinggal tukar atap lagi dan barang-barang pun sudah ada, tinggal pasang sahaja.
Besok atap akan dinaikkan dan di tukar…Mohd Lin sendiri yang menanggung kos gaji tukang.
Dalam sehari dua lagi, surau ini sudah boleh digunakan semula oleh para penduduk kampung, Alhamdulillah” ujarnya lagi.
Turut hadir sama dalam penyerahan itu ialah Timbalan Ketua Bahagian StarSabah Usukan, Sdr Iman Samar, Setiusaha Bahagian Sdr Tiar Bin Lait, Pemangku Ketua Wiranita Bahagian Norensih Binti Iman dan beberapa Ahli Jawatankuasa Bahagian termasuk Wiramuda Bahagian.
