KIMANIS: Pemangku Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Priscella Peter mengajak rakyat Sabah bangkit menuntut perubahan pentadbiran negeri berikutan kegagalan kerajaan GRS yang menurutnya hanya banyak menabur janji kosong.
Beliau berkata janji manis yang dilafazkan hanya retorik semata-mata untuk meraih sokongan rakyat.
“Sebagai contoh, masalah jalan raya dan bekalan air masih berlaku. Begitu juga dengan peluang pekerjaan, ramai belia kita yang terpaksa berhijrah ke negeri lain untuk mencari pekerjaan dan ada juga yang cari kerja sampai ke luar negara.
“Inikah kerajaan yang kita mahu? Banyak janji tetapi tidak ditunaikan…sebab itu kita perlu ubah keadaan ini dan keputusan ini adalah di tangan kita sendiri,” katanya.
Priscella berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Jentera Pilihanraya KDM DUN Bongawan, dekat sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Presiden KDM Datuk Wetrom Bahanda, dua naib presiden. Gundohing Dr Gaim James Lunkapis dan Dr Oswald Aisat, Setiausaha Agung Willie Jude, Ketua KDM Bahagian Kimanis Remy Anthony, Ketua Penyelaras KDM Bongawan Peter Matinjal, anggota AMT dan ketua- ketua penyelaras DUN.
Priscella berkata kehadiran ramai penyokong KDM di majlis pelancaran itu merupakan isyarat awal bahawa rakyat di seluruh negeri mahukan perubahan.
“Dan pilihan raya negeri yang akan datang adalah masa terbaik untuk merealisasikannya.
“Kita anak-anak Sabah, termasuk golongan belia perlu bangkit untuk membetulkan,” katanya.
Priscella berkata walaupun Datuk Peter Anthony tidak ada lagi dalam barisan pimpinan KDM, namun ia tidak sedikit pun melemahkan semangat parti KDM untuk terus memperjuangkan kepentingan dan hak-hak rakyat Sabah.
Sebagai pemangku presiden KDM, Priscella berkata beliau tidak berhasrat untuk mengejar kepentingan peribadi.
“Dalam hal ini, saya amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh ahli majlis tertinggi KDM kepada untuk meneruskan legasi perjuangan membela nasib rakyat Sabah,” katanya.
Terdahulu, Wetrom yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya KDM menamakan Peter Matinjal sebagai bakal calon parti itu bagi DUN Bongawan dalam PRN akan datang.
Beliau turut mengesahkan KDM akan bertanding di 38 kerusi DUN dalam PRN.
“Kita masih meneliti beberapa kerusi lagi dan kita akan putuskan selepas DUN dibubarkan,” katanya sambil meminta semua ketua-ketua penyelaras KDM supaya segera menyusun strategi dan memperkemaskan persediaan kerana DUN mungkin dibubarkan pada bila-bila masa.