MAHB Komited Selesaikan Kerja Baik Pulih Bumbung Lapangan Terbang Sandakan  Oktober depan 

SANDAKAN Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, menuntut Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menyediakan penyelesaian menyeluruh terhadap masalah kebocoran bumbung di terminal Lapangan Terbang Sandakan selepas beliau mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan lapangan terbang bagi mendapatkan perkembangan terkini isu berkenaan.

Beliau menegaskan, Lapangan Terbang Sandakan merupakan pintu masuk penting bukan sahaja untuk penduduk tempatan malah juga pelancong antarabangsa, justeru isu penyelenggaraan seperti ini tidak sepatutnya berlaku.

“Apa yang kita mahu lihat bukan kerja pembaikan sementara atau bersifat ad hoc, sebaliknya satu penyelesaian tuntas yang mampu menghapuskan masalah kebocoran ini secara muktamad,” katanya.

Menurut Pengurus Lapangan Terbang Sandakan, En. Mohamad Nazri Mat Khalib, pihaknya telah memulakan kerja pembaikan di beberapa lokasi kritikal sepanjang saluran bumbung sejak pertengahan bulan lalu dan kerja-kerja masih diteruskan. 

Beliau menjelaskan, kemajuan agak perlahan kerana pekerja perlu menanggalkan sebahagian besar struktur bumbung sedia ada sebelum dapat mengakses bahagian saluran yang rosak.

Bagi menyelesaikan masalah kebocoran ini secara menyeluruh, semua empat saluran pada bumbung terminal sepanjang 128 meter setiap satu akan diganti dengan saluran keluli tahan karat yang baharu. Kerja penggantian ini dijangka siap sepenuhnya menjelang pertengahan Oktober.

Vivian turut menambah bahawa semakin ramai pelancong kini mengunjungi Sandakan apabila industri pelancongan akhirnya pulih daripada kesan pandemik. 

Seiring dengan pembukaan semula sebuah hotel utama di pusat bandar dan pembangunan resort baharu di Pulau Berhala, semua pihak berkenaan mesti memastikan Sandakan menampilkan yang terbaik untuk menyambut kedatangan pelawat dari seluruh dunia bersempena dengan Visit Malaysia 2026.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles