PITAS: Sudah tiba masanya Bengkoka yang terletak di bahagian utara Sabah mewujudkan Pusat Kebudayaan Komuniti Bengkoka untuk memperagakan keunikan budaya, sekali gus membantu merancakkan industri pelancongan di kawasan itu.
Ketua Penyelaras Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Bengkoka
Gundohing Richard Mazagi berkata langkah mempelbagaikan produk pelancongan itu tepat pada masanya dan wajar disokong oleh semua pihak.
“Bengkoka terletak jauh di utara Sabah dan KDM berpendapat, produk pelancongan baharu perlu diteroka untuk menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke kawasan ini, dan seterusnya meningkatkan ekonomi setempat.
“Ini adalah antara inisiatif yang saya perkenalkan jika diberi mandat dalam PRN yang akan datang,” katanya.
Richard berkata demikian ketika berucap sempena program jelajah di PDM Mongkubou baru-baru ini.
Selain itu, beliau berkata KDM Bengkoka menaruh harapan agar dapat mempromosi agenda perumahan tersusun di DUN itu pada masa depan.
Richard berkata kepentingan masyarakat petani, nelayan dan kaum belia juga terus diperjuangkan.
Katanya KDM komited untuk membela nasib rakyat Sabah, termasuk di Bengkoka tanpa mengira bangsa, keturunan dan agama.
Sehubungan itu, Richard mengajak penduduk Bengkoka supaya bangkit dan memberi sokongan padu kepada KDM – parti original Sabahan dalam PRN yang akan diadakan tidak lama lagi.