KOTA KINABALU: Sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia, Persatuan Anak Jati Kampung Tanjung Aru telah menganjurkan sebuah Majlis Makan Malam yang penuh bermakna di Aeropod Tanjung Aru.
Program yang berlangsung dengan meriah ini dihadiri oleh lebih 200 orang veteran serta anak jati Tanjung Aru yang bersama-sama meraikan semangat kemerdekaan dan kebersamaan.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh Dr. Ritchie Jay Cheng selaku tetamu kehormat, manakala pengerusi persatuan, Haji Khalid, mengetuai penganjuran acara bersejarah ini.
Antara pengisian utama program termasuk tayangan montaj “Malam Seribu Kenangan Tanjung Aru” yang menggamit nostalgia, penyampaian anugerah sebagai tanda penghargaan kepada tokoh serta individu terpilih, dan persembahan deklamasi sajak yang membangkitkan rasa cinta terhadap tanah air.
Penganjuran majlis ini bukan sahaja menjadi wadah untuk mengeratkan silaturahim sesama anak jati Tanjung Aru, malah turut menzahirkan penghargaan terhadap jasa dan sumbangan generasi terdahulu dalam membina komuniti yang harmoni dan bersatu padu.
Persatuan Anak Jati Kampung Tanjung Aru merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang hadir serta pihak yang telah menjayakan program ini. Semoga semangat patriotisme dan perpaduan terus subur dalam kalangan masyarakat, khususnya warga Tanjung Aru.