Majoriti penduduk Kadamaian mahu pelantikan JKKK dibuat melalui undian – Josely Taising

KOTA BELUD:  Bakal calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) DUN Kadamaian Josely Taising senada dengan kemahuan majoriti penduduk Kadamaian agar pelantikan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dibuat melalui undian penduduk kampung sendiri.

Beliau berkata proses pemilihan JKKK seumpama itu benar-menggambarkan  prinsip demokrasi yang diamalkan di negara ini.

“Sudah tiba masanya pembaharuan dalam sistem pentadbiran peringkat akar umbi dilakukan iaitu memberi peluang penduduk kampung pilih sendiri anggota JKKK , sekali gus menyuburkan amalan demokrasi,” katanya dalam catatan terbaharu di media sosial.

Menurut Josely, dalam lawatannya ke beberapa kampung di DUN Kadamaian, isu pelantikan JKKK sering dibangkitkan.

Katanya penduduk kampung melihat proses lantikan terus JKKK yang dipraktikkan sekarang seolah-olah dibuat sebagai hadiah politik kepada orang kuat yang menyokong parti pemerintah.

“Rata-rata mereka berkata wakil rakyat dipilih melalui undian dan apa salahnya wakil kampung atau JKKK juga dipilih melalui undian orang kampung sendiri.

“Merubah sistem pelantikan JKKK melalui undian orang kampung ini merupakan antara  fokus KDM sekiranya diberi mandat pada PRN akan datang,” katanya.

Sehubungan itu, Josely berkata PRN merupakan medan terbaik untuk menterjemahkan keluhan rakyat sama ada menyokong lantikan terus JKKK yang dipelopori kerajaan sedia ada atau dipilih melalui undian penduduk kampung yang bakal diperjuangkan oleh KDM.

JKKK, antara lain, berperanan  melaporkan masalah dan aduan penduduk kampung kepada UPPM atau Pegawai Daerah, yang kemudiannya akan melaporkan kepada pihak yang lebih tinggi dalam kerajaan negeri.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles