KOTA BELUD: Usaha melaksanakan pemasangan kemudahan lampu LED solar
jalan pelancongan dan jalan kampung menjadi antara fokus bakal calon KDM di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian, Josely Taising jika diberi mandat dalam PRN akan datang.
Beliau berkata berdasarkan dapatan siri lawatannya ke beberapa pusat pelancongan inap desa dan jalan kampung di Kadamaian baru-baru ini, masih banyak jalan-jalan yang tidak ada kemudahan lampu LED solar.
Sebagai contoh jalan simpang ke Kg Gaur Tamalang Kota Belud, Josely berkata ia amat gelap pada waktu malam.
“Keadaan ini sangat membahayakan pengguna jalanraya,” katanya dalam catatan terbaharu di media sosial.
Josely berkata projek lampu LED solar jalan-jalan kampung sudah lama dilaksanakan secara agresif di Semenanjung, sekali gus memberi faedah kepada penduduk luar bandar di kawasan tersebut.
Katanya kos pemasangan lampu LED solar itu dikatakan lebih murah dan mudah dipasang.
Berdasarkan laporan berita, di Semenanjung, jumlah pemasangan yang dibenarkan adalah tidak melebihi 40 unit bagi setiap kampung dan akan dipasang pada jarak yang munasabah, dengan jumlah lampu LED solar yang dipasang mengambil kira keperluan dan keluasan kampung.
“Saya berpendapat bahawa jika kemudahan asas seumpama ini boleh dilaksanakan dengan mudah di Semenanjung, tiada sebab projek lampu LED solar ini tidak boleh dinikmati oleh penduduk Kadamaian.
“Ini merupakan antara misi saya untuk menolong rakyat Kadamaian jika diberi mandat dalam PRN,” katanya.