Kelab Wiki Kent berjaya anjur program 100 Tadau Wikipedia

TUARAN: Kelab Wiki Kent di bawah naungan Jabatan Bahasa Kadazandusun (BKD), Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Kent buat julung kalinya berjaya menganjurkan program 100 Tadau Wikipedia yang bermula pada 5 Mei hingga 18 Ogos tahun ini dan Sambutan Ulang Tahun dua tahun Kelab Wikimedia Kent di IPGM Kampus Kent.

Program itu, antara lain, bertujuan menggalakkan penglibatan ahli kelab dalam penulisan artikel dalam Bahasa Kadazandusun di portal Wikipedia Bahasa Kadazandusun serta memperbanyak bilangan artikel Bahasa Kadazandusun dalam Wikipedia untuk rujukan masyarakat.

Program itu diharapkan dapat mendorong pembudayaan perkongsian maklumat di atas talian dengan menggunakan bahasa ibunda.

Seramai 49 orang ahli Kelab Wikimedia Kent  terlibat dalam pelaksanaan program 100 Tadau Wikipedia. 

Sebanyak 625 artikel telah berjaya ditambahbaik dan 59 artikel baharu telah dihasilkan. 

Sementara itu, seramai 67 orang peserta terlibat dengan Sambutan Ulang Tahun dua tahun Kelab Wikimedia Kent dengan pertambahan 18 orang pelajar baharu yang mengambil subjek Bahasa Kadazandusun. 

Tuan Haji Harun Bin Haji Sarail, Timbalan Pengarah IPGM Kampus Kent melahirkan rasa bangga dengan pencapaian Kelab Wikimedia Kent yang telah berjaya menempatkan diri di peringkat global melalui pelbagai program Wikimedia.

Beliau berharap agar pencapaian itu dapat menjadi pemangkin semangat bukan sahaja kepada warga IPGM Kampus Kent, tetapi juga kepada IPGM lain dan sekolah-sekolah untuk turut menjadikan bahasa ibunda sebagai medium ilmu yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.  

Dalam ucapan perasmian penutupan, beliau juga berharap agar kelab ini akan terus memperjuangkan bahasa Kadazandusun dan akan lebih ramai yang boleh mempelajari bahasa ini dengan kemudahan akses yang lebih mudah melalui platform Wikimedia.

Ketua Jabatan Hal Ehwal Murid, Dr. Effendy Yusuff, menegaskan bahawa kejayaan Kelab Wiki Kent adalah hasil dedikasi pensyarah dan siswa guru. 

Beliau berkata, penglibatan aktif kelab tersebut bukan sahaja dalam memperkaya kandungan Wikipedia, malah melalui pelbagai aktiviti kelab telah membuktikan kemampuan warga kampus menyumbang di peringkat global serta memartabatkan bahasa ibunda.

Beberapa anugerah turut disampaikan kepada peserta yang telah menyertai program 100 Tadau Wikipedia. 

Di antara anugerah yang disampaikan semasa majlis penutupan 100 Tadau Wikipedia adalah Anugerah Penulis Harapan, Penulis Giat dan Penulis Emas berdasarkan kriteria kualiti dan jumlah sumbangan penulisan artikel yang dihasilkan sepanjang program 100 Tadau Wikipedia berlangsung.

Sambutan Ulang Tahun dua tahun Kelab Wikimedia Kent turut dilaksanakan pada majlis tersebut untuk memperingati penubuhan Kelab Wikimedia Kent. 

Kelab Wikimedia Kent dirasmikan pada 18 Ogos 2023 oleh Dr. Hamidah Binti Samsudin, mantan Pengarah IPGM Kampus Kent di Suntec Convention and Exhibition Centre sempena Wikimania Singapore 2023 di Singapura.

Semoga usaha seperti ini dapat diteruskan bagi memastikan kelangsungan kejayaan IPGM Kampus Kent, khususnya Jabatan BKD, di pentas dunia. Melalui inisiatif ini juga diharapkan lahirnya bakal guru yang berkualiti serta berjiwa besar dalam memartabatkan BKD, yang merupakan kebitaraan atau Tier Satu IPGM Kampus Kent, Tuaran.  

Turut bersama-sama dalam majlis perasmian penutupan itu ialah Dr Ronald Yusri Batahong, Ketua Jabatan Kecemerlangan Akademik, Encik Victor Baga, Timabalan Ketua Jabatan Bahasa Kadazandusun, Dr Wilfred Dousip,Pensyarah Jabatan Bahasa Kadazandusun dan Puan Rosmahwati Binti Ebbie, Pensyarah Penyelaras Kelab WIkimedia Kent.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles