Balai Bomba Baharu Akan Dibina di Kampung Gum-Gum, Batu 16

SANDAKAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan membina sebuah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) baharu di Kampung Gum-Gum, Batu 16.

Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Hj Nasir berkata, pembinaan BBP baharu itu amat penting memandangkan balai sedia ada di daerah Sandakan kini menampung keperluan bagi tiga kawasan Parlimen sekali gus menyebabkan perkhidmatan kebombaan tidak dapat beroperasi dengan kapasiti optimum.

“Dengan adanya BBP baharu di kawasan Libaran, ia akan memperkukuh kesiapsiagaan anggota bomba dalam menangani sebarang kecemasan, sekaligus memastikan keselamatan rakyat lebih terjamin,” katanya selepas sesi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjawab isu perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 di Dewan Rakyat.

Menurut beliau, KPKT telah mengenal pasti tapak cadangan di Kampung Gum-Gum, Batu 16, dan kini menunggu status hak milik tanah daripada Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah sebelum projek ini dimajukan. Cadangan pembangunan tersebut telah pun diangkat ke Kementerian Ekonomi pada 15 Mei lalu untuk pertimbangan kelulusan dalam Rolling Plan Satu (RP1) Tahun 2026 di bawah RMK-13.

Dalam masa yang sama, Suhaimi turut menyentuh mengenai kebajikan anggota bomba yang berdepan risiko tinggi semasa bertugas. Beliau menyarankan agar kerajaan meneliti pemberian elaun tambahan yang setimpal sebagai pengiktirafan terhadap pengorbanan mereka.

Menjawab isu itu, KPKT memaklumkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meluluskan beberapa penambahbaikan elaun melibatkan anggota bomba dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini termasuk Bayaran Insentif Ketukangan, Bayaran Insentif Pengendali Anjing Terlatih serta Bayaran Insentif Menyelam.

“Alhamdulillah.. kedua isu yang saya sering bangkitkan di Dewan Rakyat , akhirnya mendapat perhatian serius dari Menteri KPKT dan kerajaan”, jelasnya.

Suhaimi menyambut baik komitmen kerajaan dalam memperkukuh kebajikan anggota bomba dan berharap agar projek pembinaan BBP Gum-Gum dapat dilaksanakan segera demi manfaat rakyat Libaran dan Sandakan amnya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles