Apa dah jadi dengan projek bangunan pejabat daerah kecil Kiulu? GRS catat kejayaan luar biasa

KIULU: Susulan kenyataan Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Joniston Bangkuai bahawa kerajaan GRS mencatat “kejayaan luar biasa” dalam pentadbiran negeri, rakyat Kiulu kini menuntut penjelasan mengapa projek pembinaan bangunan pejabat daerah kecil Kiulu tidak dapat dimulakan selepas hampir empat tahun upacara pecah tanah.

Naib Ketua Penyelaras KDM Kiulu, Saimon Yagul berkata jika benar apa yang dilafazkan oleh Adun Kiulu itu, tiada sebab projek berkenaan tidak dapat direalisasikan kerana kedudukan kewangan kerajaan GRS digambarkan sangat kukuh.

Baru-baru ini, Joniston dipetik sebagai  berkata bahawa GRS berjaya merekodkan hasil negeri tertinggi dalam sejarah, iaitu RM6.9 bilion, serta rizab negeri mencecah RM8.7 bilion.

Pada 2022, ketika menyempurnakan upacara pecah tanah Bangunan Pejabat Daerah Kecil Kiulu,  Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor telah mengumumkan kelulusan peruntukan RM5 juta untuk projek itu.

Hajiji berkata bangunan urusetia baharu Pejabat Daerah Kecil Kiulu itu akan dibina di atas tapak seluas 2.5 ekar bersebelahan dengan Dewan Masyarakat Kiulu.

“Tetapi selepas empat tahun, tiada tanda-tanda projek itu akan dimulakan dalam masa terdekat…apa sudah jadi? dan tak kan duit kerajaan GRS tidak cukup pula…rizab banyak.

“Rakyat menaruh harapan tinggi…menanti dan menunggu…tak kan cari tapak sahaja pun ambil masa lebih empat tahun,” katanya dalam catatan terbaharu di media sosial.

Oleh itu, Simon mengajak rakyat Kiulu supaya bangkit menggunakan peluang pilihan raya negeri akan datang untuk membetulkan keadaan.

“Cukup-cukuplah retorik politik…tiga penggal kita berikan, ayuh rakyat Kiulu kita bangkit buat perubahan ke arah masa depan lebih baik dalam PRN nanti,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles