Jangan remeh pengaruh BN di Sabah – Penganalisis Politik

KOTA KINABALU: Meskipun berdepan pelbagai cabaran menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang, Barisan Nasional (BN) masih kekal sebagai salah satu gerakan politik berpengaruh di Sabah dan tidak boleh dipandang enteng.

Dari segi sejarah, BN pernah menjadi kuasa dominan dalam arena politik Sabah, memenangi hampir setiap pilihan raya negeri sejak 1994 dan menguasai majoriti di DUN Sabah sehingga 2018.

Biarpun parti-parti pembangkang semakin kuat dalam pilihan raya 2020, keberadaan dan pengaruh BN tetapi dirasai.

Seperti yang dijangka, peratusan undi popular BN agak menurun dalam PRN 2018, namun parti itu mulai menemui semula sentuhan di kerusi DUN yang diperuntukkan kepada BN dalam pilihan raya negeri 2020.

PRN 2018 menyaksikan buat pertama kali sejak 1994, BN gagal mengekalkan rentak kemenangan, susulan kebangkitan parti tempatan yang baharu ditubuhkan pada ketika itu iaitu Parti Warisan.

Berikutan itu, ramai pemimpin BN, termasuk pemimpin Umno Sabah berhijrah ke parti lain selepas PRN 2018, namun pemimpin  yang setia terus berjuang bagi memastikan parti tersebut kekal aktif di Sabah.

Di tengah-tengah desas-desus DUN Sabah akan dibubarkan tidak lama lagi, ramai penganalisis politik melihat BN sebagai King Maker (kuasa penentu) dan mampu menentukan dan mencukupkan kerusi kemenangan parti-parti utama seperti GRS-PH atau Warisan yang bakal bertarung di gelanggang sepak terajang politik PRN ke-17.

Aktivis sosial dan penganalisis politik  Gundohing Dr Kanul Gindol berpendapat bahawa BN masih merupakan kuasa politik yang perlu diberi perhatian.

“Daripada 73 kerusi Sabah, tidak kurang daripada 21 kerusi masih dianggap kubu kuat Umno, antaranya ialah Usukan, Lamag, Karambunai, Sukau dan Pantai Dalit,” katanya ketika dihubungi oleh Jesselton Times baru-baru ini.

Dr Kanul yang pakar dalam komunikasi politik, berkata senario politik semasa Sabah menyaksikan kekuatan parti tunggal menjadi kebimbangan, dan Umno berada dalam liga yang sama dengan Warisan, manakala parti lain tidak setanding dengan kedua-dua parti ini. 

“Kita tidak boleh mengatakan perkara yang sama kepada GRS dan PH atau bahkan BN dan PN, kerana ini adalah gabungan parti, misalnya kekuatan GRS adalah kekuatan gabungan yang datang daripada sekurang-kurangnya lapan parti politik.

“Oleh itu, tiada parti boleh menolak pengaruh Umno atau Warisan dalam kes ini, terutama dalam menentukan keputusan pilihan raya negeri ke-17 yang akan datang,” kata Dr Kanul, sambil menambah bahawa peluang untuk melakukan kejutan juga sangat baik dan terbuka luas.

Beliau seterusnya berpendapat, senario di mana Umno dan Warisan serta KDM boleh membentuk kerajaan negeri yang selesa sudah dijangkakan, walaupun parti-parti tersebut mengisytiharkan perang sesama sendiri.

“Tiada yang mustahil dalam arena politik,” katanya, sambil meramalkan bahawa gabungan pasca pilihan raya yang pantas boleh dicapai beberapa jam selepas pukul 9 malam pada hari pengundian.

“Dalam hal inj, jangan sekali-kali pandang enteng parti Umno atau tolak Umno buat masa ini. Untuk membentuk kerajaan negeri, mereka hanya mendapat majoriti mudah 37 kerusi. Hanya Umno, Warisan atau GRS yang boleh mencapai ini buat masa ini,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Kanul mengingatkan bahawa terdapat cabaran yang perlu diharungi semua pihak iaitu perpecahan undi.

“Saya percaya pemimpin Umno seperti Datuk Seri Bung Mokhtar Radin, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Datuk Rahman Dahlan akan berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan penyokong setia Umno jika Umno ingin mengekalkan kubu kuatnya,” katanya.

Dr Kanul bagaimanapun menegaskan bahawa pendirian Warisan yang teguh bahawa ia mahu membuat pakatan secara langsung dengan rakyat Sabah biasa dan bukan parti politik, boleh memberi kesan sampingan kepada aspirasi Umno Sabah untuk terus mendominasi politik negeri ini.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles