KOTA KINABALU: Pertubuhan Masyarakat Berpadu Sabah hari ini secara rasmi melancarkan Kempen Kesedaran Buli bertemakan “Noktahkan Buli, Mulakan Empati – Kami Hero Anti Buli.”
Presiden Pertubuhan itu, Mohammad Norizhuan Awang berkata kempen itu, antara lain, bertujuan membangkitkan
kesedaran orang ramai selepas tragedi yang menimpa arwah Adik Zara, insan kecil yang menjadi mangsa buli.
Katanya ia juga merupakan kesinambungan daripada Solidariti Aman Beaufort yang menuntut keadilan buat arwah Adik Zara serta bertekad dan berpadu menoktahkan budaya buli yang dianjurkan oleh pertubuhan berkenaan pada 16 Ogos lepas.
Mohammad Norizhuan berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya kempen tersebut
digerakkan khusus untuk mendidik masyarakat mengenai bahaya buli serta mengajak semua pihak menanam nilai empati dalam kehidupan seharian.
“Pendekatan kempen ini berasaskan pendidikan dan kesedaran, antaranya pertandingan pidato, ceramah kesedaran buli di sekolah-sekolah serta melalui penghasilan bahan kreatif seperti video pendek, animasi serta poster yang akan disebarkan di media sosial dan pelbagai saluran komunikasi.
“Sebagai permulaan, program hari ini dimulakan dengan aktiviti walkabout di sekitar Pekan Beaufort,” katanya.
Dalam program itu, beliau berkata sukarelawan mengedarkan risalah anti buli, risalah penerangan kempen dan “button badge” kepada masyarakat terutama golongan remaja dan belia sebagai simbol sokongan terhadap usaha membanteras buli.
“Saya ingin menegaskan bahawa buli bukanlah isu kecil, tetapi satu jenayah sosial yang boleh meranapkan masa depan mangsa serta meninggalkan kesan trauma yang mendalam kepada keluarga dan masyarakat,” katanya.
Mohammad Norizhuan menyeru seluruh masyarakat agar berani bersuara, menolak perbuatan buli, dan bersama-sama membina budaya empati serta hormatmenghormati.
“Saya yakin usaha untuk menoktahkan budaya buli tidak boleh dipikul oleh satu pihak sahaja. Ia menuntut kerjasama menyeluruh daripada ibu bapa, sekolah, pertubuhan bukan kerajaan serta agensi kerajaan.
“Dengan semangat solidariti, marilah kita bersama-sama menjadi “Hero Anti Buli”, demi mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, harmoni dan berperikemanusiaan untuk generasi akan datang,” katanya.
