KDM semakin dapat sokongan di DUN Moyog – McKery Victor

PENAMPANG – Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) semakin mendapat sambutan positif di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menurut Ketua Penyelaras KDM Moyog, Gundohing Ts. McKery Victor penerimaan rakyat terhadap KDM semakin ketara selepas parti itu mengukuhkan jaringan akar umbi melalui penubuhan cawangan-cawangan baharu di pelbagai kampung sekitar Moyog.

“Rakyat Moyog sudah lama menunggu alternatif kepimpinan yang benar-benar dekat dengan mereka, bukan hanya muncul ketika musim pilihan raya.

“Dengan pendekatan turun padang, mendengar masalah secara terus, saya yakin peluang KDM di Moyog sangat cerah,” katanya dalam catatan terbaharu di media sosial.

Ditanya mengenai kesediaan beliau jika diberi peluang oleh pucuk pimpinan untuk bertanding sebagai calon KDM, Ts.McKery berkata, beliau terbuka menerima tanggungjawab itu.

“Sebagai anak Moyog, saya sentiasa bersedia. Jika pucuk pimpinan memberi amanah, saya akan memikulnya demi rakyat. Bagi saya, yang lebih penting adalah memastikan masyarakat mendapat pemimpin yang bekerja untuk mereka,” jelas beliau.

Mengulas mengenai isu-isu utama di kawasan berkenaan, McKery berkata rakyat sering menyuarakan keluhan berhubung masalah banjir kilat yang kerap melanda beberapa kawasan di Penampang termasuk di Kg. Kolopis.

“Selain itu, kesesakan jalan raya turut menjadi isu harian, khususnya laluan dari Jalan Kolopis ke Pekan Donggongon serta dari Nambazan ke Pekan Donggongon, di samping beberapa kawasan lain yang berdepan masalah sama,” katanya.

McKery yang disebut sebagai bakal calon KDM DUN Moyog turut menegaskan bahawa kapasiti Klinik Kesihatan Penampang yang semakin sesak juga memerlukan perhatian segera.

“Belia juga memerlukan lebih banyak peluang pembangunan ekonomi dan sosial. Ini antara perkara yang perlu diberi perhatian segera,” tambahnya.

Jika diberi mandat, McKery menegaskan fokus beliau adalah menyelesaikan masalah infrastruktur dan kemudahan asas.

“Keutamaan saya ialah menyelesaikan isu banjir melalui perancangan jangka panjang termasuk cadangan penubuhan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kekal di Moyog, mengurangkan kesesakan lalu lintas dengan laluan alternatif, memperjuangkan pembinaan klinik kesihatan baharu yang lebih besar, serta memperkukuh pembangunan belia melalui inisiatif peluang pekerjaan.

“Matlamat saya jelas – saya mahu Moyog menjadi kawasan yang maju, selamat dan sejahtera,” katanya.

Menjelang PRN, beliau menyeru rakyat Moyog agar memberi peluang kepada kepimpinan baharu melalui platform KDM.

“KDM bukan sekadar parti, tetapi sebuah gerakan anak bangsa untuk membela nasib rakyat di akar umbi. PRN kali ini adalah peluang kita membawa perubahan demi Moyog yang lebih baik, keluarga yang lebih sejahtera, dan masa depan generasi akan datang,” katanya.

DUN Moyog kini diwakili Datuk Darell Leiking yang juga Timbalan Presiden Warisan.

Selain Darell yang dijancka mempertahankan kerusi itu , seorang lagi tokoh yang disebut-sebut sebagai calon ialah Timbalan Presiden UPKO Datuk Donald Mojuntin mewakili PH.

“Tidak perlu kita takut bersaing dengan tokoh-tokoh politik berpengalaman. Menang atau kalah memang perkara biasa dalam politik.

“Dalam hal ini KDM turut serta menyuburkan demokrasi. Apa yang penting ialah kuasa rakyat. Rakyat Moyog, termasuk belia yang menentukan nasib calon-calon yang bertanding,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles