“Kami akur namun semangat perjuangan parti KDM terus membara” – Priscella

Gambar: Priscella (tengah) dan Timbalan Presiden KDM, Datuk Wetrom Bahanda (enam dari kanan) bersama pemimpin-pemimpin parti KDM yang lain hadir ke Istana Kehakiman, di Putrajaya, baru-baru ini, untuk memberi sokongan kepada Peter.

KOTA KINABALU: Pemangku Presiden parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Priscella Peter menegaskan parti itu tidak berganjak dalam perjuangan mereka walaupun keputusan mahkamah, semalam, tidak memihak kepada presiden mereka, Datuk Peter Anthony.

Katanya, keputusan itu tidak melemahkan semangat mereka malah semakin berkobar-kobar untuk mencipta kejutan pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.

“Jujurnya kami memang kecewa (dengan keputusan mahkamah), kami kecewa kerana bukti baharu iaitu laporan polis yang secara jelas menunjukkan presiden KDM (Peter) dianiaya tidak diambil kira.

“Walaupun kecewa, kami tetap akur dan terima keputusan mahkamah, tapi ini tidak melemahkan semangat kami, perjuangan ini diteruskan, kami tidak akan berundur walau setapak pun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, semalam, Peter gagal dalam permohonan semakan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman atas kesalahan memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.

Dengan keputusan itu, sabitan serta hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen, serta dikekalkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan terhadap Peter, kekal.

Sementara itu, Priscella yang juga timbalan presiden KDM berkata, parti itu kekal dengan keputusan untuk bergerak solo pada PRN17 nanti.

Katanya, mereka sudah bersedia untuk menghadapi siapa saja lawan terutama kerajaan yang ada sekarang iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Parti KDM semakin diterima rakyat Sabah, di mana saja program kita buat dapat sambutan luar biasa.

“Bukan setakat itu, ramai pemimpin-pemimpin yang sudah mula menghubungi dan mendekati kami, mereka mula yakin dengan perjuangan KDM dan yakin parti ini akan mencipta kejutan sekali gus merubah lanskap politik di Sabah.

“Kami juga yakin, kerajaan yang diterajui GRS ketika ini akan tumbang pada PRN17 nanti, anda sendiri boleh dengar ‘suara-suara’ rakyat Sabah ketika ini,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles