KOTA KINABALU: Tepukan yang kuat yang kedengaran di mana-mana majlis, terutama program politik tidak semestinya gambaran sokongan sebenar.
Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata terdapat sesetengah pemimpin yang terlalu yakin bila nampak ramai orang dan dengar tepukan kuat.
“Tapi itu tidak semestinya tanda sokongan sebenar.
“Orang hadir ke majlis atas pelbagai sebab — kerana ada projek untuk mereka, kerana dijemput, atau sekadar hormat.
“Pujian pun tidak selalu ikhlas. Banyak kali cuma adat berbudi bahasa, sedangkan mereka masih menyimpan masalah sendiri di rumah,” katanya dalam catatan terbaharu di Facebook.
Salleh yang juga ADUN Usukan berkata
laporan cantik dan kata manis tidak menunjukkan keadaan sebenar.
“Di bawah, rakyat masih susah dengan kos hidup tinggi, kurang peluang kerja, dan bimbang masa depan anak-anak.
“Tepukan boleh mengelirukan, tapi undi tidak pernah menipu. Ramai yang diam sekarang, tetapi mereka akan bersuara jelas di peti undi,” katanya.
Oleh itu, katanya pemimpin sejati tidak seharusnya hanyut dengan tepukan.
“Mereka kekal rendah diri, mendengar suara rakyat, dan ikhlas mencari jalan penyelesaian.
“Kuasa datang dan pergi. Tetapi kepercayaan hanya untuk pemimpin yang jujur dan sentiasa bersama rakyat dalam susah dan senang,” katanya.
