SANDAKAN: Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Hj Nasir, menggesa agar penerbangan antarabangsa terus ke Sandakan diwujudkan segera bagi merancakkan industri pelancongan dan ekonomi rakyat di pantai timur Sabah.
Menurutnya, Sandakan sememangnya terkenal sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam sekitar dengan tarikan utama seperti Orang Utan Sepilok, Gua Gomantong, Pulau-pulau kehidupan marin serta hutan hujan tropika yang menjadi khazanah dunia.
“Saya amat tertarik dengan ucapan Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah yang menyebut bahawa Sandakan keseluruhannya berasaskan produk alam sekitar. Tahun hadapan pula kita bakal menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026. Tetapi sayangnya, kita tidak melihat Sandakan dijadikan keutamaan sejak awal tahun ini untuk diperkasakan sebagai hab pelancongan,” katanya.
Suhaimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah berkata isu ini juga telah dibangkitkan ketika mencelah dalam sesi penggulungan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-16.
Ketua Penerangan UMNO Sabah itu turut menegaskan, kelemahan utama yang dihadapi Sandakan ialah keterbatasan penerbangan dimana penerbangan dari Kota Kinabalu ke Sandakan masih terlalu sedikit.
“Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sandakan hanya dua kali sehari, walhal hampir separuh penumpang dalam pesawat terdiri daripada pelancong.
“Lebih membimbangkan, Sandakan masih tidak mempunyai penerbangan antarabangsa secara terus sehingga menyukarkan kemasukan pelancong asing.
“Pada tahun 2018, Sandakan telah pun diperuntukkan untuk diwujudkan penerbangan antarabangsa terus, tetapi sehingga kini ia masih tidak direalisasikan. Saya ingin tahu apakah perancangan Kerajaan Negeri dan Kementerian untuk memastikan perkara ini benar-benar menjadi kenyataan,” tegasnya.
Suhaimi menambah, langkah memperkenalkan penerbangan antarabangsa terus ke Sandakan amat penting kerana ia bukan sahaja akan membuka lebih luas pasaran pelancongan antarabangsa, malah turut melonjakkan peluang ekonomi rakyat setempat di pantai timur Sabah.
“Sandakan mesti dijadikan pintu masuk utama pelancong ke pantai timur Sabah. Saya mendesak agar Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar bersama Kementerian Pengangkutan Malaysia mengambil tindakan segera memastikan penerbangan terus antarabangsa ke Sandakan dapat diwujudkan dalam masa terdekat,” katanya.
