TUARAN: Program Wikitour 2.0 yang telah dirancang berlangsung di dua tempat iaitu bumi Kenyalang dan bumi Perak telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya.
Lokasi pertama Wikitour itu ialah bumi kenyalang yang dilaksanakan pada 29 Jun sehingga 2 Julai 2025 (Ahad – Rabu).
Tapak bengkelnya adalah di IPGM Kampus Rajang yang berlangsung pada 30 Jun 2025.
Sementara itu, lokasi kedua adalah di bumi Perak yang dilaksanakan pada 12 Ogos sehingga 15 Ogos 2025 (Selasa – Jumaat) dan berpusat di SMK Sri Tapah pada 13 Ogos 2025.
Kedua-dua program itu telah dihadiri oleh fasilitator daripada Kelab Wikimedia Kent seramai tujuh orang, terdiri daripada pelajar PISMP Bahasa Kadazandusun bersama Dr. Rosie Johnny selaku pensyarah pengiring merangkap pensyarah Bahasa Kadazandusun.
Turut hadir ialah wakil Wikimedia Malaysia yang terdiri daripada Encik Farouk Azim dan Encik Gerald Kerry Anak Gimang di IPGM Kampus Rajang, serta Encik Zahirul Nukman di SMK Sri Tapah.
Di IPGM Kampus Rajang, sebanyak 84 suntingan telah direkodkan merangkumi penciptaan laman baharu dan penambahbaikan kandungan sedia ada. Seramai 19 orang editor terlibat, terdiri daripada 15 orang siswa siswi opsyen Bahasa Iban dan 4 orang pensyarah.
Di SMK Sri Tapah pula jumlah suntingan yang direkodkan ialah 71 suntingan, termasuk 38 entri baharu di Wikikamus, 17 laman baharu yang dicipta di Incubator, melibatkan penyertaan seramai 24 orang peserta.
Kejayaan pelaksanaan Wikitour 2.0 di kedua-dua lokasi tersebut menjadi pemangkin kepada penganjuran program serupa di masa hadapan.
Diharapkan lebih banyak institusi pendidikan akan terlibat dalam inisiatif ini, sekali gus memperluas jaringan pengetahuan terbuka dan mengangkat martabat bahasa-bahasa warisan Malaysia di peringkat global.
Ribuan terima kasih turut diucapkan kepada Puan Zuraily A/P Uda, Guru Bahasa Semai; Puan Wak Kartinah A/P Bah Goli, Guru Bahasa Semai merangkap Ketua Panitia; serta Pengetua SMK Sri Tapah, Encik Nizam Shah bin Dahlan, Dr. Corella Anak Stephen, Pensyarah Jabatan Pengajian Bahasa Iban yang membantu menjayakan Wikitour itu.
