Kaedah untuk penyelesaian masalah air wajar dipertingkat lagi di DUN Kiulu Dan DUN Tamparuli – Henry Saimpon

KIULU: Kerajaan Sabah digesa memberi keutamaan terhadap penyediaan bekalan air terawat di beberapa kampung, khususnya yang termasuk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu dan Tamparuli yang masih belum menikmati kemudahan asas itu.

Naib presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Gundohing Henry Saimpon berkata ini termasuk beberapa kampung
dari KM1 hingga Kampung Kelawat jalan Tamparuli-Pekan Nabalu.

Beliau menegaskan penduduk di kampung-kampung terbabit mengadu masih tidak menerima bekalan air terawat sehingga kini biarpun kedudukannya berdekatan loji rawatan air utama di Telibong, Tamparuli.

“Kos projek yang tinggi tidak wajar dijadikan alasan untuk menafikan ribuan penduduk terbabit sedangkan diwar-warkan kedudukan kewangan Sabah kukuh dan mempunyai rizab kewangan yang stabil,” katanya.

Henry yang juga Ketua Penyelaras KDM Kiulu berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan santai di kampung Polod pada Ahad.

Sehubungan itu katanya, harapan penduduk kampung adalah agar kemudahan asas tersebut dapat direalisasikan demi kesejahteraan rakyat luar bandar.

Henry yang juga bakal calon KDM Kiulu berkata jika diberi mandat pada PRN akan datang, beliau bertekad untuk memberi
tumpuan secara menyeluruh kepada pembangunan infrastruktur dan ekonomi, malah memperkukuh prinsip keadilan sosial serta meningkatkan daya tahan ekonomi, termasuk aktiviti pertanian dalam jangka panjang.

“Saya juga berhasrat untuk memperhebatkan program pembasmian kemiskinan di DUN Kiulu selaras dengan wawasan KDM untuk memajukan kawasan luar bandar,” katanya.

Henry yang juga bekas pemain bolasepak Sabah mengulangi komitmennya untuk memastikan pemasangan lampu solar LED jalan-jalan kampung dapat dilaksanakan di Kiulu.

Beliau menyeru rakyat Kiulu supaya tidak mudah terpengaruh dengan propaganda pihak tertentu kononnya KDM bekerjasama dengan parti lain sedangkan KDM – parti original Sabahan itu sudah memutuskan akan bertanding secara solo dalam PRN akan datang.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles