Azizah kecam insiden buli dan desak tindakan segera

KOTA KINABALU: Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun, mengecam sekeras-kerasnya insiden buli yang baru-baru ini tular di media sosial.

Beliau menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak berperikemanusiaan dan bertentangan dengan nilai masyarakat majmuk di Malaysia.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di Wisma Institut Pembangunan Sabah (IDS) di sini kelmarin, Datuk Seri Panglima Azizah menegaskan bahawa budaya buli mesti dihentikan segera dan pelaku perlu dihadapkan ke muka pengadilan.

“Buli bukan sahaja menyebabkan kecederaan fizikal, malah memberi kesan trauma psikologi yang mendalam kepada mangsa. Masyarakat perlu bersatu menolak budaya ini,” ujar beliau.

Beliau mendesak pihak berkuasa, institusi pendidikan, dan komuniti untuk mengambil tindakan pantas terhadap pelaku dengan hukuman setimpal yang dapat memberi mesej jelas bahawa buli tidak akan diterima di mana-mana peringkat.

Azizah turut menekankan keperluan menyediakan perlindungan menyeluruh kepada mangsa, termasuk kaunseling, bimbingan emosi, dan sokongan psikologi bagi memastikan mereka dapat pulih sepenuhnya.

Menurut beliau, usaha membanteras buli memerlukan pendekatan holistik melalui kempen kesedaran yang berterusan. Kerjasama daripada sekolah, NGO, ibu bapa, dan pihak media amat penting untuk mengubah persepsi serta tingkah laku masyarakat terhadap isu ini.

Beliau turut menegaskan komitmen untuk memperjuangkan undang-undang dan polisi yang lebih tegas dalam melindungi golongan rentan, khususnya generasi muda, serta memastikan keselamatan dan keharmonian komuniti sentiasa terpelihara.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles