Josely Taising bergambar bersama Presiden SIB Sabah Rev Datuk Ir. Jerry Dusing sempena Konferensi Penginjilan dan Misi di Dewan Utama SIB baru-baru ini.
KOTA BELUD: Rakyat Sabah diajak untuk menyelami signikan Hari Malaysia (MA63) yang disambut pada 16 September depan, terutama dalam konteks kebebasan beragama.
Menurut Josely Taising, salah seorang tokoh tempatan DUN Kadamaian, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) jelas menjamin kebebasan beragama di Sabah, meskipun Islam ditetapkan sebagai agama rasmi negara.
Katanya Sabah merupakan sebuah negeri yang unik kerana mempunyai masyarakat pelbagai etnik dan agama, dan prinsip kebebasan beragama serta keharmonian antara agama ini wajar dipertahankan.
“Jadi sempena Sambutan Hari Malaysia yang akan datang, sama-sama lah kita imbau dan ingati pengorbanan pemimpin lampau negeri ini yang bertungkus lumus memastikan wujud kebebasan beragama di Sabah.
“Di DUN Kadamaian sendiri mempunyai masyarakat pelbagai agama tetapi hidup aman dan damai…kita berharap keharmonian seumpama ini terus berkekalan,” katanya dalam catatan terbaharu di media sosial.
Josely berharap menghormati kepercayaan antara satu sama lain akan terus menjadi tonggak kekuatan dan perpaduan di Sabah.
Beliau turut mengajak rakyat Sabah, khususnya di DUN Kadamaian supaya terus bersatu padu demi kebaikan dan masa depan yang lebih baik.