KOTA KINABALU: Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah Jeffery Nor Mohamed mencadangkan agar disegerakan Skim Sewa Beli untuk unit-unit rumah PPR Keramat dan PPR Serigai Putatan.
Beliau berkata pendekatan itu wajar dilakukan memandangkan usia PPR Keramat dn PPR Serigai sudah menjangkau 10 tahun.
“Jadi, ada kesesuaian kedua-dua PPR tersebut dilletakkan dalam rancangan Skim Sewa Beli,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Ketua UMNO Putatan berkata keluasan daerah yang hanya 30 kilometer persegi menghadkan penggunaan tanah untuk dibuat kediaman seperti perkampungan.
Oleh itu, katanya amat sesuai skim itu dilaksanakan bagi golongan B40, sekali gus mempermudahkan mereka memiliki rumah sendiri.
“Kondisi rumah PPR ini akan lebih terurus apabila skim ini dijalankan kerana bakal pemilik akan terus menjaga rumahnya lebih cermat daripada menyewa yang akan menimbul sikap sambil lewa,” katanya.
Jeffery berkata kadar jualan mestilah ditetapkan sekitar RM40,000 dan ditetapkan dengan syarat bahawa dalam tempoh sewa beli tidak ada penyewaan kepada orang lain.
“Kadar bayaran sewa pula ditetapkan maksimum 20 tahun supaya kadar sewa beli mampu dibayar oleh pemilik-pemilik yang berminat untuk meneruskan skim sewa beli ini.
“Saya berharap usaha-usaha seperti ini dapat dilaksanakan di atas persetujuan kedua-dua kerajaan negeri dan persekutuan dengan kadar segera mengikut kesesuaian dan keperluan, ” katanya.
