KDM pertaruhkan mantan pengetua cabar penyandang di Liawan

KENINGAU: Berbekalkan pengalaman sebagai bekas pegawai kanan Jabatan Pendidikan Sabah, pengetua dan pegawai cemerlang, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bakal mempertaruhkan calon berwibawa Gundohing Peter Paun untuk mencabar penyandang Datuk Anuar Ayub Aman daripada GRS di DUN Liawan pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Disokong kuat oleh Datuk Chin Hon Shu,
Ketua Bahagian KDM Keningau, Peter dikatakan antara pencabar utama di DUN Liawan yang turut merangkumi kawasan bandar Keningau.

Berdasarkan pola pengundi Liawan yang kini cenderung menyokong parti lokal yang tiada ikatan dengan parti nasional, Peter yakin KDM berpeluang untuk menawan kerusi Liawan kali ini.

“Saya sudah bersedia untuk bertarung atas tiket KDM di gelanggang PRN, dan saya juga sudah membuat persediaan dan perancangan awal bagi merealisasikan misi tersebut.

“Begitu juga AJK jentera pilihan raya sudah dibentuk dan siap sedia menggalas tugas pada bila-bila masa,” katanya dalam hantaran terbaharu di media sosial.

Berdasarkan tinjauan, Peter dikatakan mendapat sokongan padu daripada badan-badan NGO, komuniti Tionghua dan bekas-bekas pelajar untuk bertanding di DUN itu.

Beliau juga telah menunjukkan perkhidmatan cemerlang semasa bertugas sebagai guru dan pernah memegang jawatan pengetua di beberapa sekolah dan pegawai kanan Jabatan Pendidikan Negeri sebelum bersara.

Sementara itu, Peter berkata pelbagai isu telah dibangkitkan oleh penduduk Liawan yang menurutnya perlu diberi perhatian.

Katanya ini termasuk kemudahan infrastrukur yang tidak diselenggara dengan baik, masalah kesesakan jalan raya yang semakin teruk dan isu banjir serta masalah penyelenggaraan longkang.

Mengenai perancangan masa depan, Peter bertekad untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan dan perancangan untuk mengindahkan bandar Keningau, khususnya di DUN Liawan jika diberi mandat dalam PRN akan datang.

“Saya juga melihat terdapat keperluan membangunkan Bandar Keringau sebagai pusat komersial pedalaman yang lebih rancak dari segi ekonomi dan peluang-peluang perniagaan,” katanya.

Selain itu, Peter berhasrat untuk menjadikan DUN Liawan sebagai satu DUN yang terbaik di Sabah, sekali gus menjadi contoh kepada DUN-DUN lain dari segi pengurusan pembangunan, urus takbir yang lebih cekap, cepat dan efisien.

Beliau turut menaruh harapan untuk menjadikan DUN Liawan atau Keningau sebagai hub argo pelancongan selain merancakkan lagi program satu kampung, satu produk.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles