KOTA KINABALU: Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS) mengesa orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan di Kinarut, atau memboikot sekolah berkenaan.
Ketika membuat gesaan itu, Presiden KGKS Encik Murkam bin Hj Hussein berkata ini kerana pihak berkuasa, termasuk polis dan pakar forensik telah melaksanakan tanggungjawab secara telus, dan semua prosedur juga telah diikuti.
Selain itu, katanya Kementerian Pendidikan Malaysia telah memberi sokongan penuh kepada proses siasatan demi keadilan
untuk Zara Qairina Mahathir.
Zara Qairina Mahathir iaitu pelajar Tingkatan 1 SMKA Tun Datu Mustapha Limauan di Sabah, ditemui tidak sedarkan diri dekat longkang asrama sekolah pada 3 pagi, 16 Julai lalu, dan
mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth 1.
Murkam menegaskan bahawa Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha masih selamat dan tiada yang perlu dibimbangkan.
“Sesi persekolahan berjalan seperti biasa, dan kes ini masih dalam siasatan dan sama-sama lah kita tunggu hasil siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berharap semua pihak bertenang dalam menghadapi situasi yang mencabar ini demi kebaikan semua pihak.
“Bantahan ini juga dikhuatiri akan menyebabkan sesi persekolahan terganggu dan pelajar-pelajar dan guru-guru tertekan,” katanya.