KOTA BELUD: Bakal calon KDM DUN Kadamaian Josely Taising mencadangkan agar kerajaan Sabah mengikut jejak langkah kerajaan Sarawak yang menyediakan pendidikan percuma kepada pelajar negeri itu yang melanjutkan pengajian di peringkat tinggi mulai tahun depan.
Beliau berkata langkah itu penting sebagai manifestasi kesungguhan dan keprihatinan kerajaan dalam memperjuangkan kepentingan pendidikan anak Sabah.
Menurut Josely, ini boleh dilakukan dengan menyediakan pendidikan tinggi percuma di universiti milik Yayasan Sabah, anak syarikat kerajaan Sabah, iaitu Universiti College Sabah Foundation (UCSF).
“Seperti yang diwar-war sebelum ini kedudukan kewangan negeri semakin kukuh. Justeru, secara peribadi saya berpendapat syor ini wajar dipertimbangkan oleh kerajaan Sabah.
“Kalau Sarawak mampu memberikan pendidikan tinggi percuma di empat universiti…tiada sebab kerajaan Sabah tidak mampu menawarkannya di UCSF,” katanya dalam hantaran terbaharu di media sosial.
Josely mengulas laporan berita mengenai komitmen kerajaan Sarawak untuk membelanjakan hampir RM600 juta bagi menjayakan pendidikan tinggi percuma itu.
Bagaimanapun, inisiatif itu terhad kepada pelajar yang mengikuti pengajian di Curtin Malaysia, Universiti Swinburne Sarawak dan Kolej Universiti i-CATS.