KOTA BELUD: UMNO Kota Belud mesti memanfaatkan masa berbaki menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah untuk mengukuhkan sokongan rakyat dan mempertahankan Kota Belud sebagai kubu kuat parti, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri Usukan, YB Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perhimpunan Tiga Sayap UMNO Kota Belud yang menghimpunkan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di bawah satu bumbung.
“PRN Sabah boleh diadakan bila-bila masa. Jangan tunggu arahan baharu untuk bergerak. Dekati rakyat, jumpa kumpulan sasaran, dan pastikan mereka faham apa yang UMNO bawa untuk masa depan Sabah,” katanya.
Menurut Salleh, UMNO Kota Belud mempunyai asas yang kukuh dengan rangkaian cawangan aktif di seluruh bahagian serta kejayaan mempertahankan dua kerusi DUN pada PRU15. Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan UMNO bukan bergantung kepada dana semata-mata, sebaliknya pada semangat, titik peluh, dan kerja berpasukan seluruh ahli.
Majlis itu turut menekankan peranan setiap sayap – Wanita sebagai tiang seri parti, Pemuda sebagai barisan hadapan mendekati pengundi muda, dan Puteri sebagai wajah segar yang membawa mesej optimis kepada generasi akan datang.
Salleh mengingatkan semua jentera agar menggunakan media sosial secara positif untuk menyebarkan pencapaian dan mesej parti, namun fokus utama tetap perlu di lapangan bagi memastikan semua kumpulan sasaran terus bersama UMNO.
“Dengan bersatu padu, fokus di lapangan, dan kerja berpasukan, insyallah Kota Belud akan terus kekal sebagai kubu kuat UMNO pada PRN akan datang,” katanya mengakhiri ucapan perasmian.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Azwan Norjan.