KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan meminta agar siasatan kes kematian arwah Zara Qairina Mahathir dijalankan dengan adil dan telus oleh semua pihak yang bertanggungjawab.
“Khamis lepas saya bertemu Ketua Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun bagi menyatakan solidariti dan sokongan terhadap siasatan kes kematian arwah adik Zara Qairina.
“Sebagai seorang ayah, sudah tentu saya boleh bayangkan dan boleh rasa apa yang sedang dirasai ibu kepada arwah dan semua suara orang ramai diluar sana yang mahukan siasatan kes ini terus dijalankan dengan telus.
“Kita akan terus berusaha untuk meminta agar keadilan dalam proses siasatan hingga kes ini selesai, dan kita berharap agar semua pihak terus kuat dalam penyatuan solidariti secara berhemah untuk arwah Zara,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Fairuz yang juga merupakan Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, kejadian malang itu tidak wajar untuk didiamkan dan semua usaha menegakkan keadilan perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh.
“Kita faham ada proses dan prosedur yang pihak berkuasa terutama polis laksanakan dan kita hormati semua itu.
“Saya ingin meminta agar semua perhatian diberikan dengan teliti untuk siasatan kes arwah adik Zara dan semoga yang bersalah dapat dibawa ke mula pengadilan, dengan hukuman setimpal,” katanya lagi.
Tambah Fairuz, usaha mendidik dan menyemai disiplin diri dalam kalangan anak-anak perlu dimulakan lebih awal dari rumah dan dilakukan secara serius bagi membentuk sahsiah diri mereka.
“Kita dengar pepatah ‘melentur buluh biar dari rebungnya’ dan sebagai ibu bapa, wajar untuk kita corakkan anak-anak kita dengan sahsiah dan perilaku sopan agar mereka membesar menjadi seorang manusia yang mempunyai rasa empati.
“Sahsiah dan perilaku anak sememangnya mampu dicorakkan oleh kita dari rumah dan inilah asas kepada didikan yang perlu kita pupuk dan ambil perhatian serius, kerana kita mahu budaya negatif, samseng dan segala aktiviti tidak bermoral bagi kalangan anak remaja kita dapat dihentikan,” jelas Fairuz.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan itu turut meminta agar semua pihak untuk menghormati dan tidak mencari publisiti murahan dengan membuat spekulasi sendiri di media sosial, dengan tujuan mencari viral.
“Kita kena bayangkan jika kita berada di posisi keluarga arwah adik Zara, kita kena letakkan rasa kasih dan prihatin untuk ibu arwah adik Zara yang sekarang sudah amat tertekan dengan kehilangan anak tunggalnya.
“Jadilah pengguna media sosial yang bijak dan jangan jadi ‘penunggang isu’ dengan menyebarkan maklumat tidah sahih, kerana kelak, kecuaian kita boleh membawa padah andai ada tindakan undang-undang diambil kelak,” tambah Fairuz.
Fairuz juga memberitahu bahawa Kerajaan Negeri turut prihatin dan menyokong penuh usaha siasatan kes arwah Zara agar pesalah dapat diberi hukuman setimpal.
“Ini adalah keprihatinan Kerajaan Negeri dan kita sokong usaha semua pihak yang menuntut agar kes ini disiasat dengan telus,” ujar beliau lagi.
