Oleh Yussof J. Imbang
TONGOD: Pertukaran kerajaan yang kerap berlaku di Sabah merupakan penyumbang utama kepada kemunduran sekaligus membantutkan program pembangunan yang telah dan sedang dirancang.
Apabila kerajaan bertukar tangan sudah tentu wujud setidakstabilan politik dalam negeri yang membawa kepada kegagalan dan kelewatan terhadap usaha yang akan dilaksanakan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN, Kuamut, Datuk Masiung Banah.
Beliau menyampaikan ucaptama sempana Majlis Amanat ADUN Kuamut 2025 di Dataran Terbuka Tongod, kelmarin.
Menurut beliau, tiba masanya rakyat Sabah mencontohi sikap rakyat Sarawak supaya kita maju bersama mereka.
” Rakyat Sabah sering kali membandingkan kemajuan Sarawak dan Sabah. Jika kita mau maju seperti Sarawak kita ikut cara pemikiran orang Sarawak mengutamakan kestabilan politik.
” Bayangkan perancangan yang telah disusun selama lima tahun, tiba-tiba kerajaan negeri bertukar, Ketua Menteri, bertukar pengarah serta pegawai kerajaan turut ditukar, sudah pasti pembangunan dirancang menemui kegagalan.
” Jika wujud kerajaan baharu, sudah tentu akan wujud polisi baharu, belum sempat meneruskan kemajuan, kerajaan bertukar lagi. Akhirnya rakyat Sabah terus mundur dan jauh ketinggalan, ” tegasnya.
Mengulas lanjut Masiung berkata, suatu ketika dahulu, Sabah lebih maju berbanding Sarawak, tetapi rakyat Sarawak mengutamakan kestabilan politik tanpa menukar kerajaan setiap kali pilihanraya.
Menurutnya, Sabah merekodkan 16 Ketua Menteri sejak tempoh 60 tahun ekoran kerajaan silih berganti, berbanding Sarawak cuma 6 orang. Pertukaran Ketua Menteri di Sarawak hanya berlaku selepas habis tempoh atau menunggal dunia tetapi kerajaan kekal diperintah satu gabungan parti politik.
Masiung memberi contoh Projek Lebuhraya Pan Borneo, di mana kerajaan Pusat memberikan peruntukan serentak kepada Sabah dan Sarawak namun Sarawak sudah siap sepenuhnya sedangkan Sabah jauh ketinggalan sebabnya projek itu telah melalui tiga kerajaan yang berlainan polisi.
Tegasnya, sikap rakyat Sabah menukar kerajaan tidak akan merugikan pemimpin dan Wakil Rakyat kerana mereka dibayar gaji.
Tetapi katanya, rakyat Sabah yang sibuk mengkritik dan mudah terpengaruah dengan laporan media sosial yang tidak berdaftar akan menanggung kerugian yang besar.
