KOTA KINABALU : Kenyataan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, kononnya mahu melupuskan pinjaman pendidikan termasuk PTPTN dan Yayasan Sabah sekali gus menawarkan biasiswa penuh kepada anak-anak Sabah, hanyalah satu lagi skrip politik usang serta dikitar semula menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, ketika Shafie memegang tampuk kuasa sebagai Ketua Menteri dari 2018 hingga 2020, tidak ada satu dasar pun yang menggambarkan kesungguhan terhadap pembelaan pendidikan anak Sabah.
Katanya, tidak ada pelupusan hutang termasuk tiada dermasiswa baharu serta tiada dana khas untuk mahasiswa luar negeri disalurkan kepada pelajar Sabah.
“Yang ada hanyalah retorik demi retorik. Tapi kini, setelah tidak lagi berkuasa dan berada di kerusi pembangkang, Shafie datang semula membawa janji manis yang sudah basi.
“Ingatlah rakyat Sabah tidak mudah dibeli dengan janji bulan dan bintang sepertimana yang diumumkannya beberapa hari lalu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Nizam merupakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata, Kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor tidak menjanjikan mimpi namun hanya menunjukkan hasil kepada rakyat Sabah.
“Antaranya, Dana Bantuan Pendaftaran IPT untuk anak Sabah dari keluarga B40, Dermasiswa Sabah Maju Jaya yang membuka lebih banyak peluang ke menara gading.
“Penambahan peruntukan Yayasan Sabah demi biasiswa dan bantuan pendidikan yang lebih luas serta pembangunan sekolah daif di kawasan luar bandar sebagai bukti keprihatinan luar kota,” jelas Nizam.
Menurutnya, Inisiatif khas untuk mahasiswa Sabah di luar negeri adalah sesuatu yang tidak pernah dibuat semasa Warisan berkuasa.
“Ini bukan cerita dongeng. Ini bukan sekadar cakap-cakap kedai kopi. Ini komitmen kerajaan GRS terhadap masa depan anak-anak Sabah.
“Ia dilakukan dengan penuh tanggungjawab fiskal, tanpa menjual mimpi palsu atau mengeksploitasi isu hutang mahasiswa untuk modal politik murahan,” katà Nizam.
Beliau menyeru kepada rakyat Sabah khususnya anak muda supaya tidak terpedaya dengan politik populis yang hanya aktif bila pilihan raya semakin hampir.
“Jangan biarkan masa depan kita digadai oleh mereka yang hanya hadir bila perlukan undi.
“Pendidikan bukan alat propaganda. Ia amanah untuk membina generasi akan datang,” ujarnya.
Nizam berkata, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus bekerja, bukan berjanji serta akan terus memberi, bukan memancing simpati.
“Ini kerana rakyat Sabah berhak untuk terus maju — bukan mundur kerana terpedaya janji lama dalam bungkusan baru,” tambahnya.
