PENAMPANG: Dalam mendepani cabaran kos sara hidup yang semakin mencengkam, Kerajaan MADANI terus memperkukuh langkah-langkah strategik menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) yang bakal bermula dari tahun 2026 hingga 2030.
RMK-13 merupakan kesinambungan daripada Kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan kemampanan ekonomi, kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar dan pengukuhan tadbir urus negara. Di bawah salah satu teras utamanya iaitu Menaikkan Lantai, tumpuan khusus diberikan kepada usaha menangani kos sara hidup — satu isu global yang turut memberi kesan besar kepada rakyat Malaysia.
Menurut Datuk Armizan bin Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, antara pendekatan utama yang akan diterajui oleh kementeriannya dalam tempoh RMK-13 ialah pembangunan Sistem Repositori Harga dan Bekalan, satu inisiatif bersepadu untuk meningkatkan ketelusan dan integriti harga di seluruh rantaian bekalan makanan negara.
“Isu kos sara hidup tidak boleh diselesaikan hanya dengan memantau harga semata-mata. Kita mesti memastikan pasaran kekal telus, kompetitif dan bebas daripada manipulasi pihak berkepentingan. Sistem repositori ini akan menjadi instrumen penting dalam usaha tersebut,” ujar beliau dalam satu kenyataan di Penampang hari ini.
Repositori ini akan berfungsi sebagai platform data yang menyeluruh, merangkumi maklumat harga, bekalan dan edaran barangan keperluan asas. Melalui kerjasama antara kementerian, agensi penguatkuasa dan industri, sistem ini akan menyokong pelaksanaan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta Akta Persaingan 2010 secara lebih berkesan.
Lebih penting, sistem ini akan membolehkan pengguna, peniaga dan pembuat dasar mengakses maklumat pasaran secara telus — sekaligus memperkukuh kuasa pengguna serta mengurangkan ruang kepada pencatutan oleh orang tengah.
Di samping itu, RMK-13 turut memberi penekanan kepada pemerkasaan rantaian bekalan makanan negara melalui pembangunan infrastruktur pemasaran, logistik dan digital, selain memperkasakan peruncit kecil dan sederhana agar lebih berdaya saing dalam ekosistem agromakanan negara.
“Kita bukan sahaja ingin menstabilkan harga, tetapi juga mahu memastikan rakyat mampu ‘menyara hidup’ mereka dengan pendapatan yang munasabah serta akses kepada barangan asas yang mencukupi,” tambah beliau lagi.
Inisiatif pembangunan sistem repositori ini adalah lambang komitmen kerajaan untuk bukan sahaja menyelesaikan gejala, tetapi menangani punca kepada cabaran kos sara hidup — dengan pendekatan yang menyeluruh, bersasar dan lestari.