Oleh Yussof J. Imbang
TONGOD: Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah menolak cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar Barisan Nasional (BN) turut membentuk kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17).
” Tidak mungkin persafahaman itu dapat dicapai kerana ia akan mengelirukan pengundi, lagipun GRS dan PH sudahpun terlebih dahulu mencapai kata sepakat untuk meneruskan kerjasama politik.
” Bagaimanapun, jika kerjasama tiga gabungan parti itu berlaku kami berpegang pada kenyataan Perdana Menteri pada 11 Mei lalu di Tawau supaya Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengetuai rundingan pembahagian kerusi, ” tegasnya mengulas kenyataan Perdana Menteri berhubungan cadangan terbaharu itu, semalam.
Semasa menghadiri perjumpaan Khas bersama pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah di Kota Kinabalu semalam, Perdana Menteri menyatakan, akan cuba berusaha mencapai rundingan antara GRS-BN dan PH supaya tidak ada pertembungan ketiga-tiga gabungan parti itu dalam PRN-17.
Masiung berkata, pada dasarnya Gagasan Rakyat yang menjadi tunggak GRS sudah pasti tidak akan bersetuju cadangan Anwar supaya tiga gabungan parti itu menjalinkan hubungan ‘cinta tiga segi’.
Menurut beliau, GRS dan PH Sabah sudah sebati dengan kerjasama politik yang sedia wujud dalam mengurus pentadbiran Kerajaan Negeri sebelum ini.
Katanya, GRS telah hilang kepercayaan dengan BN/Umno kerana pernah menghianati jalinan kerjasama bersama GRS dan PH menerusi ‘Langkah Kinabalu’.
Menurut Masiung, sejak peristiwa Langkah Kinabalu yang dirancang oleh parti itu, para pemimpinya terus meniupkan sentimen permusuhan dan memperlekehkan GRS dengan pelbagai taktik dan strategi.
” Dalam masa sama Umno/BN Sabah juga telah mengambil keputusan untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan GRS.
” Kami berharap Perdana Menteri menghormati pendirian kami dan mengotakan janjinya menyerahkan kepada pengerusi GRS (Hajiji) mengetuai rundingan kerusi kepada parti-parti dalam pakatan politik menjelang PRN-17, ” tambahnya.
