TAWAU : Masalah ‘Paras Air Sungai Rendah serta Kerja-Kerja Pembaikan Paip Bocor merupakan punca penduduk Tawau kini berhadapan dengan krisis air yang berlarutan dialami sejak tiga hari lalu.
Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Tan Sri Liew Yun Fah berkata, pihaknya banyak menerima aduan serta panggilan memaklumkan berkaitan masalah air yang kini sudah berlarutan sejak beberapa hari berlaku di sekitar Tawau.
Katanya, penduduk Tawau terpaksa bergantung sepenuhnya kepada bekalan ‘air mineral’ sebagai langkah penyelesaian sementara untuk menjalani kehidupan seharian mereka.
“Sepatutnya Jabatan Air Sabah bertindak awal agar mengelak masalah ini tidak membebankan masyarakat Tawau sekali gus menyebabkan isu ini akan menjejaskan imej kerajaan negeri.
“Air ini merupakan keperluan harian penduduk serta peniaga di Tawau.
Sampai bila mereka mampu bertahan kerana isu ini seolah-olah gagal ditangani dalam tempoh terdekat,” katanya di sini hari ini.
Liew berkata, beliau difahamkan keadaan paras air sungai kelihatan masih rendah menyebabkan masalah dijangka akan berulang kembali pada masa depan.
“Kakitangan Jabatan Air Sabah sudah mempunyai pengalaman berapa puluh tahun menguruskan air di Tawau, namun sehingga kini masih tiada solusi untuk tangani masalah ini.
“Saya sudah menghubungi Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmy Yahya, Jurutera Air Daerah Tawau serta Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), mereka akan mengadakan perbincangan segera bagi menyelesaikan masalah ini,” jelas Liew.
Menurutnya, beliau yakin mungkin ramai lagi penduduk serta kampung di kawasan Tawau yang terjejas akibat ketiadaan air dialami sejak beberapa hari lalu.
“Namun mereka terpaksa menguruskan sendiri keperluan air ini berikutan hilang kepecayaan kepada Jabatan Air Sabah.
“Rumah saya pun tiada air…..Saya hampir setiap hari menerima aduan ketiadaan air dari penduduk kampung…Kami berusaha menyalurkan bantuan bekalan air mineral untuk keperluan sementerà mereka,” kata Liew.